Thursday, February 22, 2018

PH mula mengorak langkah undang-undang terhadap RoS

Pakatan ambil tindakan undang-undang terhadap RoS
Bede Hong  -  Diterbitkan pada 21 Feb 2018 4:18PM
Ketua Biro Undang-Undang DAP Gobind Singh Deo ketika bercakap kepada pemberita di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. Pakatan Harapan mengambil tindakan undang-undang terhadap RoS berikutan tiada maklum balas berhubung pendaftaran pakatan itu.– Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 21 Februari, 2018

PAKATAN Harapan memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman bagi mendapatkan perintah mahkamah supaya Pendaftar Pertubuhan (RoS) menjawab permohonan pakatan untuk didaftarkan sebagai sebuah pakatan rasmi. 

Ketua Biro Undang-Undang DAP Gobind Singh Deo berkata, RoS terdahulu berkata ia tidak dapat mendaftarkan pakatan itu kerana terdapat dua isu utama yang masih belum diselesaikan. 

Beliau berkata, isu pertama adalah pemilihan jawatankuasa kerja pusat DAP yang katanya masih belum diselesaikan dan kedua adalah Bersatu masih belum mengadakan mesyuarat agung tahunan parti.

Gobind berkata Pakatan Harapan sudah menghantar surat kepada RoS pada 6 Februari. 

"Semua ini sudah diselesaikan. Tetapi kami masih belum menerima sebarang maklum balas daripada RoS. Dan kami meminta mahkamah untuk memaksa RoS menjawab surat kami (pada 6 Februari)," kata Gobind kepada pemberita di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Semalam, pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad berkata pakatan itu akan membawa kes berkenaan ke mahkamah selepas tiada sebarang maklum balas daripada RoS mengenai permohonan mereka.

“Kita tidak boleh kata mereka menolak kerana mereka masih lagi belum tolak, tetapi pada masa sama kita tak boleh berbuat apa-apa kerana masih belum didaftarkan," kata Dr Mahathir di ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya, semalam.

Permohonan itu difailkan bagi pihak setiausaha agung pakatan berkenaan Saifuddin Abdullah, setiausaha agung DAP Lim Guan Eng, setiausaha agung PKR Saifuddin Nasution, timbalan setiausaha agung Amanah Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus dan seiatusaha agung Bersatu Shaharuddin Md Salleh. 

Kesemua pemimpin tersebut kecuali Lim, hadir ke mahkamah hari ini. 

Permohonan itu menyebut keputusan RoS untuk tidak mendaftarkan PH sebagai satu pakatan, atau memberi maklum balas kepada PH berhubung surat terbaharunya pada 6 Februari lalu, adalah bertentangan dengan 'jangkaan yang sah' dari pemohon dan mala fide.

PH turut memohon perintah mandamus untuk memaksa RoS mendaftarkan PH sebagai satu pakatan di bawah Akta Pertubuhan 1966. 

Permohonan itu difailkan di bawah perakuan segera untuk tarikh pendengaran awal.

Gobind, yang juga timbalan pengerusi DAP berkata, RoS telah menghantar surat kepada DAP yang menyatakan pemilihan semula jawatankuasa kerja pusat parti komponen itu yang diadakan pada 12 November memenuhi syarat yang diperlukan. 

Tambahnya, Bersatu juga telah mengadakan mesyuarat agung tahunannya di Johor pada 30 Disember. 

Surat terbaru PH kepada RoS dihantar pada 6 Februari. 

"Tiada sebarang maklum balas sehingga kini. Kami mengambil pandangan bahawa sebagai pencipta statut ini, adalah menjadi tanggungjawab RoS untuk mempertimbangkan permohonan sebegini," kata Gobind. 

"Kita ada Akta Pertubuhan dan RoS. Pada pandangan saya apabila undang-undang memerlukan kamu memohon kepada (RoS), adalah sebahagian daripada tanggungjawab timbal balik (RoS) dengan sekurang-kurangnya memberi maklum balas. 

Ditanya sekiranya RoS terus tidak memberikan maklum balas, Gobind berkata, "Mengikut Akta Pertubuhan, apabila semua syarat dipenuhi..parti mempunyai hak untuk menganggap mereka adalah sah dan berhak meneruskan aktiviti mereka."

Gobind berkata, PH tiada pilihan untuk mengambil tindakan undang-undang: "Ini sebabnya mengapa kami tiada alternatif lain. Kamu semua tahu, kita telah tubuh Pakatan Harapan kerana merasakan keperluan untuk kami bergerak sebagai satu pakatan pada pilihan raya umum akan datang. Sekali lagi menurut undang-undang, pilihan raya ini perlu diadakan pada pertengahan hingga suku ketiga tahun ini. 

"Itu kami sudah mohon, tetapi tiada maklum balas untuk meletakkan kami dalam keadaan selesa. Terdapat persediaan perlu dilakukan dan masih banyak yang kami perlu buat. Persoalannya ialah bagaimana kami mahu bergerak jika pemohonan masih tertangguh. Tiada sebarang jawapan. Sama ada ya atau tidak. Ini sesuatu yang tidak dapat diterima. Sekurang-kurangnya bagi maklum balas."

Bersatu dan DAP dikatakan menjadi halangan utama untuk pendaftaran PH untuk diiktiraf sebagai pakatan yang sah. PH menghantar permohonan untuk pendaftaran itu pada 24 Julai tahun lalu. 

Pilihan Raya Umum ke 14 perlu diadakan menjelang 23 Ogos, iaitu 69 hari selepas Parlimen terbubar secara automatik pada 24 Jun. – 21 Februari, 2018.

No comments:

Post a Comment