Tuesday, February 13, 2018

Pesawat An-148 terhempas: Luahan hati seorang anak kepada mangsa

'Saya tidak tahu bagaimana hidup tanpa dia sekarang' - Ekaterina
Agensi | Diterjemahkan oleh: Raja Hisyam Raja Zaid 
Diterbitkan pada Februari 13, 2018 06:28 MYT
Pesawat An-148 yang sedang menuju ke Orsk di Urals selatan, terhempas beberapa minit selepas berlepas dari lapangan terbang Domodedovo Moscow. - Reuters

MOSCOW: Orang ramai berkumpul di luar Christ the Cathedral di Moscow pada malam Isnin dengan membawa lilin bagi memberi penghormatan kepada 71 orang yang terbunuh dalam nahas pesawat pada Ahad.

Pesawat An-148 yang sedang menuju ke Orsk di Urals selatan, terhempas beberapa minit selepas berlepas dari lapangan terbang Domodedovo Moscow.

Kesemua 65 penumpang dan enam anak kapal terbunuh dalam tragedi tersebut.

Tragedi itu telah menimbulkan persoalan mengenai pesawat yang mempunyai enjin berkembar itu yang dibangunkan bersama oleh Rusia dan Ukraine.

Ia berikutan pengeluaran pesawat berkenaan dihentikan selepas kedua-dua negara mengalami krisis politik.

Sebelum ini model pesawat tersebut turut mempunyai isu keselamatan selepas satu kes direkodkan di mana seorang juruterbang pernah dilaporkan melalui detik cemas selepas mengalami kesukaran untuk mendaratkannya.

BACA: Tragedi Rusia: Mayat mangsa mula dijumpai

BACA: Pesawat Rusia terhempas, 71 maut

Sementara itu anak kepada seorang mangsa yang turut disenaraikan sebagai penumpang pesawat malang itu meluahkan rasa tidak percayanya dengan apa yang berlaku.

Menurut Ekaterina,beliau hanya mempunyai kesempatan beberapa kali sahaja dalam setahun untuk bertemu ibunya Nataliya kerana bekerja di Moscow.

"Saya tidak tahu bagaimana hidup tanpa dia sekarang," jelas Ekaterina.

Sebahagian keluarga mangsa mula membanjiri hospital bagi urusan pengumpulan DNA dalam proses pengecaman mayat kesemua mangsa.

No comments:

Post a Comment