Thursday, February 22, 2018

Kesian.....cuba selak baju orang, kain sendiri yang tersingkap!

Tanah mukim ljok: Siapa yang terdedah?
Dzulkefly Ahmad · Diterbitkan pada 22 Feb 2018 11:26AM

SERANGAN Umno-BN dan Khalid lbrahim terhadap Menteri Besar Azmin Ali atas isu penyelesaian projek terbengkalai di Ijok mendedahkan kebobrokan Umno sendiri dan kelemahan serta kegagalan Khalid ketika mentadbir Selangor dulu.

Pandangan pemerhati lebih baik Umno diam saja dan Khalid tidak ambil kesempatan. Hari ini kedua-dua didedah “pekong” masing-masing kerana gelagat buruk sendiri.

Umno melalui Pengarah Strategi dan Komunikasi Barisan Nasional Rahman Dahlan mula menembak pihak kerajaan negeri, sejurus MB merasmikan majlis memeterai perjanjian pemilikan antara peneroka Alam Mutiara dan Alam Utama (Fasa 2&3) dengan Paragon Pinnacle, pada 11 Februari lalu di Stadium tertutup Kuala Selangor.

Jelasnya Rahman tidak faham susur galur cerita sebenarnya dan jauh lagi untuk memahami “global formula” yang bersifat “menang-menang” untuk semua pihak termasuk peneroka pemaju yang diguna pakai kerajaan negeri.

Apakah Rahman tidak ada pengetahuan bahawa sebahagian besar tanah peneroka yang diberikan pada 1987 di bawah Rancangan Hijau Bukit Cherakah diambil kembali oleh kerajaan negeri BN dalam 1999-2001? Peneroka dijanjikan bayaran pampasan RM180,000 seorang dan sebuah rumah berharga RM180,000.

Tiga syarikat kroni pemaju yang diberikan tanah oleh pihak kerajaan Umno-BN ialah LBCN Development SB, MZSB (Mujur Zaman SB) dan LCSB (Liputan Canggih SB) diberikan tanah tersebut antara 1999 - 2001, keseluruhan di bawah Chin Chan Leong dan isterinya.

Kedua-duanya mencagarkan tanah-tanah ini untuk mendapatkan ratusan juta ringgit pinjaman melibatkan pelbagai bank dan pihak peminjam bukan bank.

Hutang ini sebahagian besarnya menjadi hutang tak berbayar (NPL) dan berbaki RM1.6 bilion pada 2012. Kalau tidak kerana penglibatan sebuah entiti, Hadron Consulting, sebahagian besar dari tanah 987 keluarga peneroka mungkin sahaja terpaksa dilelong pihak bank.

Dalam 2005, ketiga-tiga syarikat ini mengalami krisis kewangan dan kerja pembinaan terhenti.

Seramai 987 peneroka berdepan dengan risiko buruk bahawa rumah mereka akan terbengkalai dan bayaran RM44 juta masih belum dilunaskan sepenuhnya oleh pihak pemaju kepada mereka.

Menarik juga kalau diimbau kembali apa yang dilakukan Khalid ketika menjadi MB kerajaan Pakatan Rakyat pada 2008.

Pihak peneroka bertanya apakah mereka boleh dapatkan semula tanah mereka? Khalid hanya menjawab peneroka “hilang kelayakan” terhadap tanah itu kerana menyerahkan kepada tiga pemaju tersebut.

Perkara ini diulang sebut lagi oleh Omar iaitu pengerusi Jawatankuasa Bertindak Projek Terbengkalai dalam sidang akhbar bersama saya kelmarin. Saya juga masih ingat kata-kata itu dari mantan MB itu sendiri. Kini Khalid dan bekas pembantu peribadinya, semacam mahu jadi juara peneroka pula. Aduh.

Tegasnya, apa yang menjadi pendekatan pentadbiran Khalid adalah sekadar melakukan pengambilalihan semula tanah-tanah itu. Tanah-tanah ini termasuk tanah LBCN dan Mujur Zaman kira-kira 2,200 ekar.

Agak lucu juga kerana seorang korporat tidak tahu bank yang memberi kredit atau pinjaman punya hak yang tidak boleh diatasi atau dikalahkan (indefeasible charge) ke atas tanah-tanah itu. Mereka berhak melelong tanah itu untuk mendapatkan bilion ringgit pinjaman yang diberikan kepada pemaju kroni tadi. Nyata Khalid tidak langsung menghitung kemaslahatan dan risiko peneroka yang akan hilang segala hak.

Dalam kejahilan dan tidak tahu menahu seluruh susur galur kisah sebenar, Rahman pula menembak Azmin yang kononnya, tergesa-gesa mengizinkan penjualan tanah 2,200 ekar tanah milik Mujur Zaman dan LBCN kepada sebuah pemaju berwibawa (penyelamat) dengan nilai RM1.18 bilion. Ini dakwa beliau, kerana kerajaan negeri berjaya di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan untuk pengambilalihan tanah tersebut, hanya menanti di Mahkamah Persekutuan?

Juga kata beliau sinis, kalau RM421.4 juta adalah untuk bayaran pampasan kepada peneroka dan pembinaan rumah, di mana baki RM756.6 juta lagi yang dibayar pemaju tadi?

Untuk pengetahuan umum, kemenangan di pihak kerajaan negeri hanyalah disebabkan kelemahan teknikal pihak pemaju yang melepasi 40 hari rayuan. Pun begitu, andainya kalah di Mahkamah Persekutuan, kerajaan negeri akan terdedah kepada pembayaran ratusan juta ringgit kepada pihak pemaju yang akan dinilai mengikut kadar komersial seperti kes Maybank yang berjaya menyaman kerajaan negeri dalam rampasan tanah yang sama.

Sebaliknya, andainya kerajaan negeri menang dan mendapat tanah itu semula, Rahman sengaja tidak menyebut atau memang tidak tahu bahawa kerajaan negeri mesti membayar pampasan kepada pemilik tanah dan bank yang memberi pinjaman beratus juta ringgit.

Di dalam kedua-dua senario Rahman dan Khalid, bukan sahaja akan membebankan kewangan negeri tetapi jelasnya tidak langsung memikirkan nasib peneroka malang yang mereka kononnya juarai.

Soalan yang sarat dengan insinuasi fitnah adalah apabila beliau bertanya mana pergi baki RM756.6 juta? Ada yang kata soalan ini lazim dengan DNA Umno-BN apabila urus niaga kewangan ditangani yakni seolah-olah mesti ada ketirisan? Siapa yang dapat, begitu gamaknya? Maaf.

Rahman dan juga Khalid serta Faeqah yang mahu mengulangi insinuasi jahat itu wajar tahu bahawa pecahan bayaran RM1.18 bilion adalah seperti berikut:

Bayaran oleh anak syarikat Pemaju, Paragon Pinnacle untuk 2,200 ekar tanah sebanyak RM1.18 bilion, antara lainnya untuk;

Pampasan + rumah = RM300 juta

Bayaran hutang bank & creditor = RM670 juta

Bayaran kpd syarikat swasta = RM210 juta

Berakhir sudah derita rakyat selama 18 tahun dalam penyeksaan penantian dengan penyelesaian “Formula Global” yang bersifat "menang-menang" kepada hampir semua pihak. Saya selaku mantan ahli Parlimen Kuala Selangor bersama-sama Khalid Samad (Shah Alam) dan YB Sivarasa (Subang) turut bersyukur kerana turut sama merumuskan formula itu. Sememang tidak mudah dan perlu di atasi pelbagai rintangan.

Kreditors; bank dan pihak swasta, disaksikan “laughing to the banks”, sementara pemaju yang gagal pun mendapat habuan mereka hasil usaha penyelesaian yang adil ini. Peneroka bergembira dengan bayaran tunai dan insya-Allah akan mendapat rumah impian mereka yang bernilai RM450,000 apabila siap. Seramai 358 peneroka telah meninggal dunia.

Kerana komitmen MB kepada penyelesaian yang baik itu, kerajaan negeri juga mendapat habuan sebanyak 1,000 ekar yang kini punya nilai pasaran RM750 juta. Anda nilai sendiri penyelesaian oleh mantan dan penyandang MB sekarang ini secara adil.

Yang jelas malang akibat seksa jiwa yang jelik dan jengkel, adalah mereka yang akan terus membuat fitnah. Mengikut mafhum kalam nabi junjungan, pahala mereka akan diberikan kepada orang yang mereka fitnah, setelah habis pahala mereka, maka golongan pemfitnah akan menanggung dosa orang yang mereka fitnah.

Nasihat ini saya tujukan buat semua tanpa pengecualian termasuk diri yang kerdil ini.

Pun begitu, hanya lafaz dan rafak syukur yang layak menutup tulisan ini. – 22 Februari, 2018.

* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.

No comments:

Post a Comment