Saturday, February 17, 2018

Arahan menarik balik artikel: SKMM tidak mengikut perlembagaan dan menyalahi undang-undang?

SKMM salah arah portal tarik balik artikel - Peguam
Alyaa  Alhadjri    Hari ini, 3:59 pm
Beberapa peguam dan ahli akademik berkaitan media membantah tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengarahkan dua portal dalam talian mengeluarkan lapan artikel yang dikatakan melanggar undang-undang.

Peguam N Surendran berkata mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan mana-mana laporan boleh mengambil tindakan sivil jika benar mereka telah difitnah.

"Hukuman dalam Akta SKMM tidak boleh digunakan untuk melindungi mana-mana individu.

"Itu adalah pelanggaran kebebasan bersuara yang dijamin di bawah perlembagaan," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi.

SKMM semalam mengarahkan Malaysia Today dan The Malaysian Insight (TMI) memadam beberapa artikel yang didakwa melanggar undang-undang kerana melanggar Seksyen 233 aktanya.

TMI diminta menarik balik tujuh artikelnya sementara Malaysia Today yang diasaskan blogger Raja Petra Kamaruddin diarahkan memadamkan satu artikel menerusi surat SKMM bertarikh 15 Februari.

Difahamkan tindakan SKMM terhadap Malaysia Today dikaitkan dengan artikel Faridah Begum KA Abdul Kader - isteri Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Namun ketua TMI Jahabar Saddiq tidak mendedahkan aduan sebenar terhadap TMI.

Surendran, bagaimanapun menegaskan perdana menteri sendiri tidak berhak mendapat perlindungan khas seperti juga warganegara biasa yang lain.

"Dia (perdana menteri) tidak mempunyai hak atau perlindungan khas lebih daripada rakyat Malaysia."

"Tindakan SKMM adalah tidak mengikut perlembagaan dan menyalahi undang-undang," tegas Naib Presiden PKR itu.
Sementara itu, Peguam Latheefa Koya (gambar) mengingatkan bahawa badan pengawalselia seperti SKMM tidak boleh mempunyai kuasa atau undang-undang yang mengganggu hak kebebasan akhbar seperti dijamin di bawah perlembagaan persekutuan.

Beliau berkata demikian ketika mengalu-alukan cadangan menubuhkan badan kawal selia (ombudsman) akhbar sebagai langkah alternatif untuk menyelesaikan isu-isu etika di media.

"Ombudsman (badan kawal selia) akhbar pastinya merupakan idea yang baik untuk menangani penyalahgunaan internet dan masalah lain yang berkaitan. Isu sebenar adalah untuk memastikan ia bebas dan mempunyai integriti.

"Anda boleh memanggilnya suruhanjaya, suruhanjaya khas, ombudsman tetapi jika integriti dan kebebasannya dikompromi, maka ia akan kembali kepada masalah yang sama seperti SKMM atau SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia)," katanya.

"Dan untuk memastikan kebebasannya, ia mesti bertanggungjawab kepada parlimen dan bukan kerajaan," tambah ahli jawatankuasa pusat PKR itu.
Sementara itu, profesor media dari Nottingham University Malaysia,  Zaharom Nain juga mengutuk tindakan SKMM terhadap dua portal berita itu.

"Tindakan SKMM angkuh, kuku besi dan mungkin didorong secara politik. Melainkan dan sehingga mereka mempunyai bukti bahawa artikel itu ternyata palsu, mereka tidak seharusnya mengganggu atau menyekat media," katanya.

Beliau juga bersetuju bahawa ombudsman akhbar adalah penyelesaian alternatif yang lebih baik daripada mengambil tindakan undang-undang terhadap organisasi media.

"Yang bagusnya ia putuskan oleh para editor, pemilik (media) dan wartawan, dan mungkin ahli akademik. Tiada campur tangan negara atau rejim," jelasnya.
The Star semalam melaporkan semua lapan artikel berkenaan  memaparkan isu-isu semasa dan politik tempatan yang dikritik secara terbuka oleh parti politik dan pemimpin tertentu.

SKMM, dalam suratnya kepada Malaysia Today juga menggesa portal itu memastikan mereka tidak menerbitkan artikel yang melanggar undang-undang negara.

No comments:

Post a Comment