Monday, November 13, 2017

Penjelasan Pandikar tentang status Sabah dan Sarawak sebelum sebelum 1963 serta MA63

Sabah, Sarawak bukan negara tetapi tanah jajahan British sebelum 1963
Jason Santos · Diterbitkan pada 12 Nov 2017 4:46PM
Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia ketika berucap mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) anjuran Gabungan Idea Pembangunan Sabah hari ini. – Gambar The Malaysian Insight, 12 November, 2017

SPEAKER Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia menepis dakwaan mengatakan Sabah dan Sarawak adalah dua negara berasingan sebelum pembentukan Malaysia dengan Negeri-negeri Persekutuan Tanah Melayu pada 1963.

Pandikar berkata Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang ditandatangani wakil-wakil Sabah dan Sarawak mengenal pasti kedua-dua negeri itu sebagai tanah jajahan British.

"Ini di antara kekeliruan yang dicipta ahli politik dan aktivis sekarang, mungkin ia untuk mendapatkan sokongan politik," kata Pandikar selepas berucap selama tiga jam mengenai MA63 anjuran Gabungan Idea Pembangunan Sabah hari ini.

"MA63 perlu dilihat semula dan sentimen para pemimpin pada masa itu difahami serta mengapa mereka menandatangani perjanjian itu," katanya.

Artikel 1 MA63 menyatakan "Tanah Jajahan Borneo Utara dan Sarawak dan Negeri Singapura akan disekutukan dengan Negeri-negeri Persekutuan Tanah Melayu sedia ada sebagai Negeri Sabah, Sarawak dan Singapura mengikut surat cara Perlembagaan yang dilampirkan kepada Perjanjian ini dan Persekutuan ini hendaklah selepas ini dinamakan 'Malaysia'".

Pandikar menekankan penggunaan "tanah jajahan" dalam artikel itu untuk menunjukkan yang Sabah (dulu dikenali Borneo Utara) adalah tanah jajahan British yang dikenali sebagai Sabah apabila disekutukan di bawah perjanjian itu.

Beliau menjelaskan yang beliau memberikan pandangan tidak poular mengenai penubuhan Malaysia, dan menyatakan banyak pandangan yang tersebar meluas di kalangan ahli-ahli politik berkenaan perkara itu adalah untuk menyentuh sentimen rakyat Sabah.

Pandikar turut menafikan dakwaan mengatakan Sabah diturunkan menjadi sebuah negeri di Malaysia daripada menjadi satu daripada tiga rakan kongsi yang sama bersama Sarawak dan Malaya, dan berkata di bawah Bab 2 (10) MA63, Sabah adalah bekas tanah jajahan disekutukan bersama Negeri-negeri Persekutuan Tanah Melayu.

"Mereka beritahu perkara yang orang mahu dengar melalui media sosial, WhatsApp, blog dan sebagainya, tetapi mereka mengelirukan orang yang tak tahu tentang MA63, terutamanya golongan muda Sabah.

"Bila anda berkongsi pendapat dengan orag lain, anda akan disisihkan dari kumpulan mereka, maknanya mereka hanya mahu mendengar pendapat mereka saja manakala yang lain salah," katanya dan menamakan antaranya Presiden Star Sabah Dr Jeffrey Kitingan, aktivis Zainnal Ajamain dan bekas ahli PKR Ansari Abdullah.

Beliau berkata walaupun idea itu popular di kalangan rakyat Sabah, ia tidak mengambil kira sentimen pengasas-pengasas negeri itu, dan akibatnya, seruan kepada pemisahan muncul daripada individu-individu seperti Doris Jones of Sabah yang mengetuai pergerakan Sarawak Keluar Malaysia (SSKM).

"Kalau pengasas negeri tahu mereka sertai Malaysia sebagai rakan kongsi yang sama, kenapa mereka tidak jelaskan di dalam perjanjian itu?

Pandikar juga mempersoalkan keperluan bagi mengkaji semula perjanjian itu setiap 10 tahun, mengatakan perkara itu hanya disebut di luar perjanjian.

Apabila ditanya jika Sabah harus memulakan satu referendum untuk berpisah dari Malaysia, Pandikar mempersoalkan sama ada seruan pemisahan oleh beberapa individu benar-benar mewakili suara majoriti.

"Sekiranya itu seruan majoriti rakyat Sabah, saya kata mengapa tidak? Tetapi, jika ia hanya dari seorang individu seperti Doris Jones, jadi mengapa kita perlu lakukan?

"Jadi, apa perlunya adakan referendum?". – 12 November, 2017.

BerkaitanPertikaian MA63: Mengapa PBS tak mansuh undang-undang agama ketika memerintah?

1 comment:

  1. Habis Singapura dan Brunei itu negeri jajahan juga? Penerangan ini buat orang keliru sahaja. Apa punya Pandikar..

    ReplyDelete