Thursday, October 12, 2017

Kenakan tekanan, pilih bulu atau kebetulan?

Kenapa hanya siasat kementerian saya, tanya Shafie
Noor Azam Shairi  · Diterbitkan pada 12 Oct 2017 7:00AM
Presiden Parti Warisan Sabah Shafie Apdal mempersoalkan kenapa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia hanya siasat Kementerian Kemajuan Luar dan Wilayah (KKLW) yang pernah diterajuinya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 12 Oktober, 2017.

SHAFIE Apdal mempersoalkan kenapa hanya Kementerian Kemajuan Luar dan Wilayah (KKLW) yang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)   sedangkan kementerian yang pernah diterajuinya itu sudah "lulus ujian" prestasi ditetapkan Unit Pengurusan Prestasi Pelaksanaan (Pemandu).

Dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight, Shafie berkata prestasi KKLW setiap tahun bukan saja mencapai sasaran malah melampaui jangkaan, daripada segi jumlah dan nilai projek yang dilaksanakan.

Atas keyakinan itulah, presiden Parti Warisan Sabah itu merumuskan siasatan SPRM terhadap dakwaan penyelewengan RM1.5 bilion dana persekutuan di kementerian itu adalah "penyiasatan berpilih" untuk membunuh masa depan politiknya.

"Pilihan raya sudah semakin dekat. Semua ini dibuat untuk mencemarkan nama baik saya, untuk melemahkan semangat perjuangan Warisan," katanya kepada The Malaysian Insight, semalam.

SPRM minggu lalu mengumumkan siasatan berhubung lebih kurang 350 projek pembangunan luar bandar melibatkan bantuan bekalan air dan elektrik serta jalan raya yang diberikan oleh KKLW kepada 60 syarikat antara 2009 hingga 2015. Dana RM1.5 bilion itu didakwa diseleweng daripada keseluruhan peruntukan berjumlah RM7.5 bilion.

Shafie menteri yang bertanggungjawab sepanjang tempoh itu, sehingga beliau digugurkan daripada kabinet oleh Perdana Menteri Najib Razak pada Julai 2015. Beliau anggota kabinet pertama Najib yang dibentuk pada April 2009.

Siasatan ini kebetulan dilancarkan ketika Warisan bakal merayakan ulang tahun penubuhannya yang pertama, minggu depan.

Ditanya bagaimana dakwaan penyelewengan itu boleh timbul, Shafie tegas menjawab: "Mana saya tahu? Mana ada penyelewengannya? Boleh semak akaun bank saya. Boleh masuk tengok rumah saya."

Shafie berkata beliau memang sudah menjangkakan akan berdepan dengan tindakan seperti ini kerana beliau lantang mengkritik Najib berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad dan membela kepentingan rakyat.

"Saya bukan hendak mempertahankan diri. Saya hanya menyatakan faktanya saja.

"Jangan berpilih dalam membuat tindakan. Ini sesuatu yang bersifat politik, sangat politikal. Ini tidak ada kena-mengena dengan soal menegakkan undang-undang.

"Jangan beritahu saya hanya sebuah kementerian saja. Kita ada berapa kementerian? Berapa banyak projek yang dikeluarkan oleh MoF (Kementerian Kewangan? Berbilion.

"Saya nafikan sekeras-kerasnya tuduhan ini," katanya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad semalam mengumumkan agensi anti rasuah itu akan mengeluarkan rangking kementerian berdasarkan isu rasuah dan salah guna rasuah sebelum akhir Disember ini.

Ranking itu, katanya akan menyenaraikan 10 kementerian paling bermasalah dan lima kementerian yang dianggap "baik".

SPRM sehingga semalam menahan reman tujuh orang bagi membantu siasatan termasuk Naib Presiden Warisan Peter Anthony dan ketua sayap pemudanya, Azis Jamman. Azis juga bekas ketua Pemuda Umno Bahagian Semporna, sebelum keluar Umno mengikut langkah politik Shafie yang menubuhkan Warisan, setahun lalu.

SPRM semalam turut mendapatkan perintah reman menahan adik lelaki Shafie, Hamid Apdal selama lima hari, selepas menyoal siasatnya di Kota Kinabalu selama 10 jam sejak Selasa malam.

Turut ditahan ialah Ketua Pemuda Umno Tawau Ariffin Kassim dan Ketua Pemuda Umno Tenom Jamawi Jaafar. Dua yang ditahan bersama Anthony sejak 5 Oktober lalu ialah seorang ahli perniagaan dan seorang bekas timbalan setiausaha bahagian di KKLW.

Selain menahan tujuh individu, SPRM sudah membekukan beberapa akaun bank bernilai RM180 juta dipercayai milik syarikat-syarikat yang disiasat.

Shafie juga menegaskan beliau akan menghadapi apa juga kemungkinan yang akan berlaku kerana apa yang dilakukan sekarang bukan untuk dirinya tetapi demi rakyat.

"Kalau saya ada atau saya tiada pun, percayalah, kalau kamu tangkap saya seorang, akan ada ratusan malah ribuan rakyat Sabah yang akan meneruskan perjuangan menentang semua kerosakan ini, saudara namakan apa saja kerosakan itu," katanya.

Berikut adalah petikan wawancara berkenaan:

TMI: Apa sudah jadi?

SHAFIE: Saya sudah jangka ini akan berlaku. Sejak hari pertama, sejak saya membangkitkan pelbagai isu sebagai menyuarakan kepentingan rakyat dan melindungi kepentingan negara, saya tahu ini akan berlaku. Benarlah, inilah yang berlaku sekarang. Tetapi saya sudah bersedia.

Ini bukan tentang diri saya. Ini bukan tentang Shafie Apdal. Ini tentang perjuangan, tentang hidup rakyat, tentang kepentingan negara.

Kalau saya ada atau saya tiada pun, percayalah, kalau kamu tangkap saya seorang, akan ada ratusan malah ribuan rakyat Sabah yang akan meneruskan perjuangan menentang semua kerosakan ini, saudara namakan apa saja kerosakan itu.

Saya tahu bagaimana SPRM digunakan sebagai alat oleh pemerintah.

Kita juga tahu bagaimana rakyat Sabah biasa menukar kerajaan daripada sebuah parti kepada parti yang lain. Saya percaya rakyat Sabah sudah bersedia untuk menukar kerajaan. Saya fikir mereka (Barisan Nasional) dapat merasakannya. Saya yakin mereka sudah buat kajian sejak berbulan-bulan sebelum ini, apakah BN boleh menahan cabaran daripada pemimpin dan parti pembangkang. Jika tidak mereka akan diam saja.

Kenapa sekarang secara khusus menunjukkan kepada orang seperti kita?

Tetapi percayalah, kita berjuang untuk sebuah kerajaan yang lebih baik, untuk masa depan rakyat Sabah yang lebih baik dan pematuhan kepada apa yang dipersetujui oleh pemimpin terdahulu dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan 20 Perkara. Inilah yang terhutang kepada rakyat Sabah.

Saya percaya perjuangan ini bukan hanya terhad di Sabah dan untuk rakyat Sabah saja, tetapi untuk seluruh negara juga.

Itu sebabnya beliau (Najib) berulang kali mengatakan Sabah dan Sarawak adalah simpanan tetap.

TMI: Tetapi kenapa rasanya tindakan ini dibuat sekarang?

SHAFIE: Pilihan raya sudah semakin dekat. Semua ini dibuat untuk mencemarkan nama baik saya, untuk melemahkan semangat perjuangan Warisan.

Semua ini dibuat untuk menimbulkan tohmahan kerana selama ini, tahun demi tahun, mengikut laporan yang diberikan kepada saya, prestasi kementerian mencapai malah melampaui jangkaan, bukan saja dari segi jumlah projek tetapi juga nilai projek.

Laporan itu ditandatangani oleh Najib setelah dikemukakan oleh Pemandu, sebuah badan yang menganalisis prestasi setiap kementerian. Saban tahun kita berjumpa perdana menteri untuk melaporkan prestasi kementerian.

Ini ketara bahawa pilihan raya sudah semakin dekat.

Rakyat semuanya tahu keadaan ini. Saya yakin, walau apa pun tindakan pihak yang berwajib, pada akhirnya, yang menentukan siapa yang berkuasa di negara kita, bukan SPRM, bukan Najib... tetapi rakyat.
Saya tahu bagaimana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia digunakan sebagai alat oleh pemerintah, kata Presiden Parti Warisan Shafie Apdal. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 12 Oktober, 2017.

Saya cuma seorang saja tetapi saya yakin, saya tidak berseorangan dalam perjuangan mahu melihat akan ada perubahan berlaku, khususnya di Sabah.

Semakin saya ditekan, saya yakin bukan saja rakyat akan bersimpati tetapi lebih ramai lagi yang akan mendalami dan menghayati perjuangan ini.

Saya hendak nyatakan bahawa saya ini seorang yang sudah lama berkhidmat. Saya pernah duduk dalam “inner circle” Najib. Bayangkan, banyak maklumat yang saya tahu. Saya tidak takut, saya tidak gentar. Kalau masuk mahkamah, lagi bagus.

TMI: Jadi dakwaan penyelewengan RM1.5 bilion ini macam mana boleh timbul?

SHAFIE: Mana saya tahu? Mana ada penyelewengannya? Boleh semak akaun bank saya. Boleh masuk tengok rumah saya.

Di Jabatan Air Sabah ada kes, tak ada penyelewengan? Tak ada siasat siapa yang meluluskannya? Kalau duit daripada KKLW, itu corruption. Kalau ambil duit dari Jabatan Air Sabah, bukan corruption. Bagus.

TMI: Ada desas-desus semua ini berlaku sekarang kerana Datuk Seri sepatutnya menyertai semula Umno bersama Muhammad Muhammad Taib.

SHAFIE: Saya tahu ada banyak mesej yang sampai kepada saya. Ada yang mengatakan mereka itu kawan lama, ada yang mengatakan "your brother". Saya ini bukanlah orang yang sempurna. Dalam hidup, kita bukan maksum.

Sampai usia, penting bagi kita untuk menjaga kepentingan rakyat dan negara. Imbuhannya bukan menteri atau jawatan. Kalau saya hendak jawatan, saya diamkan diri saja… yes, sir… yes, boss, kekal saya dengan jawatan itu. Tetapi saya sayangkan negara dan rakyat.

Dari awal sudah saya nyatakan, saya masuk gelanggang politik demi rakyat. Anwar Ibrahim tahu saya lawan dia. Pak Lah (Abdullah Ahmad Badawi) tahu saya minta dia letak jawatan (perdana menteri) dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno. Saya selalu (buat sesuatu) untuk rakyat, bukan untuk diri saya. Saya tahu bebannya. Saya tahu implikasinya. Saya tahu kesannya bukan hanya kepada diri saya tetapi kepada anak-anak saya.

Saya yakin rakyat lebih memahami, lebih mengetahui keadaan seumpama ini.

Saya harap apabila menjelang pilihan raya ini yang saya yakin semakin dekat, mereka akan bertindak menggunakan hak sebagai rakyat sepertimana saya menggunakan hak saya bersuara selaku ahli politik, selaku wakil rakyat, untuk kepentingan rakyat.

Saya tahu inilah yang berlaku apabila kita membela kepentingan rakyat.

TMI: Jadi betullah dakwaan Datuk Seri akan masuk Umno semula?

SHAFIE: Tak ada. Dari awal lagi, saya sudah nyatakan pendirian saya.

TMI: Sejak meninggalkan Umno, pernahkah dipujuk untuk patah balik masuk Umno?

SHAFIE: Macam-macam... macam-macam yang sampai (kepada saya). Tak perlulah cerita. Memang ada.

Tetapi apa yang penting ialah kita jangan mementingkan dunia semata-mata. Akhirat kena fikir juga.

Saya tidak akan boleh bawa jawatan menteri itu apabila masuk kubur. Saya tidak akan boleh bawa seluas mana tanah, sebesar mana kereta. Malaikat akan tanya saya. Malaikat tidak akan tanya saya "Yang Berhormat, Naib Presiden Umno… Yang Berhormat Menteri." Malaikat cuma akan tanya apa yang saya lakukan di muka bumi, itu saja.

TMI: Mesej yang sampai macam-macam itu, janjinya apa?

SHAFIE: Tak apalah. Biarlah... macam-macam. Saya tidak galakkan orang untuk sampaikan mesej semacam itu kepada saya.

Saya sudah nyatakan pendirian saya dari awal bahawa ini bukan tentang jawatan, bukan tentang harta tetapi demi rakyat dan negara. Ada yang sangat tidak kena dengan negara ini dan kita tidak boleh diamkan diri begitu saja.

TMI: Apa mesej kepada Umno sekarang?

SHAFIE: Umno ini, kalau tidak mengalami kegagalan, tidak akan ada keinsafan, tidak akan dapat merasai pahit yang dirasai oleh rakyat di bawah.

Sama seperti manusia juga, kalau tidak gagal, dia tidak akan insaf.

Umno mesti kalah dalam pilihan raya supaya timbul keinsafan.

TMI: Warisan memilih jalan sendiri dan tidak membuat pakatan dengan Pakatan Harapan dari Semenanjung Malaysia atau parti-parti lain di Sabah. Sejauh mana Warisan boleh memberikan kesan pada pilihan raya nanti?

SHAFIE: Dengan segala tindakan yang dilakukan sekarang, saya percaya mereka tentu sudah merasakan tekanan daripada Warisan. Pemimpin pembangkang lain pun ada di Sabah. Ada Jeffrey Kitingan, Yong Teck Lee, Lajim Ukim, tetapi kenapa hanya saya?

Tetapi tak mengapa. Kita sebuah parti yang kecil, bukanlah besar sangat. Saya yakin rakyat sedar bahawa saya selama ini masuk keluar kampung untuk membantu rakyat. Itu saja kerja saya dari dulu sampai sekarang.

Jangan cerita di Sabah, yang di Semenanjung pun tahu. Ada ahli yang berhormat, ketua bahagian Umno datang ke rumah saya pagi-pagi minta peruntukan untuk bekalan air. Kementerian bagi (sebab) bantu rakyat. Takkanlah itu pula jadi rasuah… hendak bantu rakyat.

Check-lah semua projek di semua kementerian ada corruption atau tidak, jangan check di Sabah saja. (Tanyalah) berapa ketua bahagian dapat, berapa yang kita beri untuk bantuan rakyat?

TMI: Sekiranya terus diasak, adakah Datuk Seri akan dedahkan apa yang Datuk Seri tahu tentang Umno?

SHAFIE: Saya serah kepada Tuhan. Saya tak takut mati. Tuhan saja yang menentukan hidup mati saya. Tidak jadi masalah pada saya.

Saya tahu, saya tahu banyak (tentang Umno). Saya pun dulu inner circle, saya pernah jadi naib presiden, jadi menteri pun lama juga. Bukanlah menteri kanan, kecil saja.

TMI: Adakah Datuk Seri menimbangkan langkah itu?

SHAFIE: Tunggu dan lihat.

TMI: Sekiranya SPRM tangkap Datuk Seri dalam masa terdekat ini, apa akan jadi pada Warisan?

SHAFIE: Kita ada orang kita. Kalau ambil seorang, akan ada seribu lagi yang akan bangkit. Saudara lihat apa jadi di Kota Kinabalu (pada Selasa)? Itu baru naib presiden Warisan, bayangkan kalau presidennya.

Insya-Allah. Saya tidak mahu takbur. Kita berserah kepada Tuhan.

TMI: SPRM kata ada banyak bukti…

SHAFIE: Bukti ini kena dibuktikan. Apa transaction, (duit) masuk sana, masuk sini? Saya tidak boleh komen berdasarkan dakwaan saya ambil duit. Dia kena buktikan.

Kalau macam itu, saya boleh kata Najib ambil RM2.6 bilion. Apa buktinya? Masuk dalam akaun dia. Tapi ada siasatankah? Tidak ada siasatan pun.

TMI: Masa dalam kabinet, adalah Datuk Seri bangkitkan suara-suara rakyat ini?

SHAFIE: Bukan sedikit, tapi tak apalah.

TMI: Datuk Seri pernah jadi sebahagian daripada sistem yang Datuk Seri kritik sekarang. Kenapa baru sekarang lantang bersuara tentang rakyat, tentang orang Sabah?

SHAFIE: Saya lantang sebelum ini dalam perhimpunan agung Umno. Semak balik semua ucapan saya. Saya selalu ingatkan, jangan lupa orang kampung.

Saya bersuara bukan untuk orang Sabah saja. Nasib orang Pahang pun saya suarakan juga, sebagai menteri. Saya ke Bera dan lihat orang Asli tidak ada air. Saya hantar anak Orang Asli ke luar negara untuk buat Ph.D. Saya tukar bangunan Mara jadi hotel. Ada hartanya, daripada Mara berhutang berbilion semasa saya mula jadi menteri, kemudian sudah ada tunai… tetapi saya juga yang salah?

Banyak yang saya perjuangkan di peringkat Sabah dan Sarawak. Saya suarakan berkali-kali tentang peruntukan yang tidak setimpal yang perlu diberikan perhatian.

Bayangkan setiap tahun belanja di Kuala Lumpur berapa bilion? Berapa bilion pula yang diperuntukkan bagi luar bandar? Saya bersuara. Jangan cerita saya tidak pernah bersuara dan hanya baru sekarang (bersuara).

Iyalah, masa saya bersuara dulu kita ada collective responsibility. Takkanlah saya bincang di kabinet dan kemudian saya hendak dedahkan semua perbincangan saya. Itu salah dari segi undang-undang. Saya bertanggungjawab untuk melindungi kepentingan anggota kabinet. Kita buat keputusan secara konsensus.

Apabila saya disingkirkan daripada kabinet, saya reda. Itu hak dia (Najib). Saya redalah. Tetapi apabila saya dibuang daripada Umno, tidak ada pembelaan. Apa salah saya? Saya menang (jawatan naib presiden), bukan saya dilantik. Sewaktu Anwar dikenakan tindakan (dipecat daripada Umno pada 1998) dulu pun, dia diberi peluang bela diri. Kita sebaliknya tidak dipanggil pun.

Umno ini baik tetapi ia diperalatkan untuk kepentingan individu.

TMI: Adakah Shafie Apdal memang seperti ini, dan bukan hanya sekarang selepas di luar kerajaan dan Umno?

SHAFIE: Oh, Datuk Najib tahu… (dia) kawan baik saya. Dia tahu watak saya. Dia tahu saya vocal. Pak Lah pun tahu saya vocal. Anwar pun tahu. Saudara boleh tanya mereka. – 12 Oktober, 2017

No comments:

Post a Comment