Friday, September 15, 2017

Seronok mendera, sekarang apa jadi........kan ibubapa pula yang menangis?

Kes bunuh kadet UPNM, bicara dipindah ke mahkamah tinggi
Diterbitkan pada 15 Sep 2017 1:17PM
Suspek pembunuhan Zulfarhan Osman, kadet UPNM yang menggemparkan negara kini akan dibicarakan di mahkamah tinggi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 September, 2017

KES enam penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang didakwa membunuh dan bersubahat membunuh rakan seuniversiti mereka, Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain yang meninggal dunia dengan kesan lebam dan melecur di badan, dipindahkan ke mahkamah tinggi untuk perbicaraan.

Majistret Siti Radziah Kamarudin memindahkan kes itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Nordin Ismail supaya kes tersebut dipindahkan ke mahkamah tinggi. Bagaimanapun, tarikh untuk sebutan kes itu di mahkamah tinggi belum ditetapkan.

Enam tertuduh itu ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali yang kesemuanya berumur 21 tahun.

Lima daripada tertuduh iaitu Muhammad Akmal Zuhairi, Muhammad Azamuddin, Muhammad Najib, Muhammad Afif Najmudin dan Mohamad Shobirin didakwa bersama-sama membunuh Zulfarhan Osman, 21, di Bilik 04-10, Blok penginapan asrama Jebat UPNM, Kem Perdana Sungai Besi, Cheras, di sini antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Abdoul Hakeem pula dituduh bersubahat dengan lima tertuduh membunuh mangsa di tempat, masa dan tarikh yang sama mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama-sama Seksyen 302 kanun sama yang membawa hukuman serupa.

Keenam-enam tertuduh turut menghadapi pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap pegawai kadet itu bersama 13 tertuduh yang lain dan mahkamah menetapkan  27 Oktober untuk sebutan semula kes.

Mereka ialah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar,Muhamad Ashraf Abdullah,Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Akmal Akif Alias,Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany dan Mohamad Syazwan Musa, kesemuanya berumur 21 tahun.

Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di dalam bilik 03-05 Blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 2.30 pagi dan 5.30 pagi, 21 Mei lepas dan di bilik 04-10, asrama sama, antara 1.30 pagi dan 4.30 pagi, 22 Mei lepas.

Pendakwaan mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan hendaklah juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Semua tertuduh masing-masing diwakili peguam M. Ramachelvam, Ranjit Singh Dhillon, Hazizah Kassim, Ariff Amirul Abdul Jani, A. G Kalidas, Mohd Fadly Hashim, Zamri Idrus dan Joshua Tay.

Zulfarhan Osman meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun lalu, dipercayai akibat didera selepas dituduh mencuri komputer riba milik rakan dan mangsa dilaporkan mengalami kesan lecur pada bahagian dada, tangan dan kaki dipercayai akibat ditekap dengan seterika wap. – Bernama, 15 September, 2017. - sumber

4 comments:

  1. Hukum karma
    Terimalah padahnya...
    Org melayu mmg perangai suka membuli
    Malu la sikit kat bangsa lain
    Pemimpin atasan pon sama suka buli rakyat...

    ReplyDelete
  2. Mati mereka menyelamatkan mereka yang lain, mati mereka akan mengajar mereka yang lain, mati mereka membaiki akan keadaan.. Mungkin mati mereka lebih baik daripafa hidup menyeksa mereka yang lain...

    ReplyDelete
  3. Bayangkan kesakitan yg dialami mangsa ketika tidak dapat melawan....

    ReplyDelete
  4. Semasa kecil apa perangaipun org suka cantik, pandai kononnya menjadi kebangaan nmak bapak...
    Tapi bila dah besar perangai macam celaka membuli dan membunuh hukuman mati amat setimpal dgn perbuatan kejamnya...

    ReplyDelete