Sunday, September 10, 2017

Perkara nih......bila sebut Melayu memang sukar dijangka!

* Sebabnya bila sebut Melayu, kebanyakannya 'dedak'lah yang memainkan peranan besar!

Bolehkah tsunami Melayu berlaku pada PRU14?
Amin Iskandar
Diterbitkan pada 10 Sep 2017 11:00AM
Penganalisis berkata untuk mewujudkan satu gelombang luar biasa sehingga mencecah skala magnitud tsunami dalam pola politik Melayu sukar dilakukan dengan sokongan sebahagian besar pengundi Melayu terhadap Barisan Nasional. – Gambar fail AFP, 10 September, 2017.

PERALIHAN undi orang Melayu secara besar-besaran atau "tsunami Melayu" kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) masih jauh daripada realiti, kata penganalisis.

Mereka berkata, walaupun ramai orang Melayu menghadiri program anjuran PH terutamanya selepas Dr Mahathir Mohamad mengetuai gabungan itu, belum tentu kehadiran tersebut akan diterjemahkan sebagai undi.

Timbalan Pengerusi Insititut Darul Ehsan (IDE) Prof Dr Redzuan Othman berkata, sehingga kini, gelombang pengundi Melayu terutamanya di luar bandar masih belum kelihatan.

“Saya masih belum nampak tsunami Melayu nak berlaku pada masa ini.

“Dalam pemerhatian saya di ceramah-ceramah PH di luar bandar yang menampilkan Dr Mahathir Mohamad seperti di Bera, Pahang, ramai yang hadir tetapi masih belum kelihatan mereka nak bagi komitmen untuk bersama PH,” kata Redzuan kepada The Malaysian Insight.

Katanya, keadaan ini berbeza ketika tsunami politik berlaku pada 2008 yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) hilang majoriti dua pertiga buat pertama kalinya sejak tahun 1969.

“Pada ketika itu memang sudah boleh nampak komitmen rakyat untuk bersama pembangkang. Walaupun ramai yang hadir ke program ceramah sekarang, euforia seperti 2008 dalam kalangan orang Melayu masih belum kelihatan.

“Kalau nak kata peningkatan kos sara hidup bakal mengubah undi mereka saya tengok sukar juga, sebab walaupun ramai orang terkesan disebabkan peningkatan kos sara hidup, tapi belum sampai tahap tak makan.

“Saya tengok Raya Haji baru ini, di Perak dan Pahang, lembu yang dikorbankan banyak juga, ada yang sampai 10 ekor satu kampung,” kata bekas pensyarah Universiti Malaya itu.

Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel) itu berkata, mengikut kajian yang dilakukan IDE pada 11-16 Ogos 2017 melibatkan 4,486 responden di 130 daripada 165 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia, 50% daripada pengundi sudah pun membuat keputusan parti mana bakal diundi pada PRU14.

Domino Semenanjung

Tsunami Melayu mula diperkatakan oleh Ahli Strategi DAP Liew Chin Tong dalam tulisannya bertajuk “Domino Semenanjung” pada Julai 2015, dengan meletakkan asas peralihan undi Melayu di kawasan yang dikuasai Umno.

“(Pada PRU13) Umno memenangi 88 kerusi di peringkat nasional, termasuk 14 kerusi dari Sabah dan satu dari Labuan, manakala 73 kerusi selebihnya datang dari Semenanjung Malaysia.

“Daripada 73 kerusi di Semenanjung, Umno dijangka menang sekurang-kurangnya 30 kerusi di kawasan kampung, yang sememangnya disediakan untuk Umno dengan campuran undi Felda, undi pos, dan kerahan jentera kerajaan.

“Daripada 39 kerusi marginal yang dimenangi Barisan Nasional (BN) dengan majoriti kurang daripada 10% dalam PRU yang lalu, 32 kerusi itu dimiliki Umno. Inilah gelanggang pertaruhan untuk PRU akan datang,” tulis ahli Parlimen Kluang itu.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar berkata pengundi Melayu cenderung mengundi kerana parti berbanding faktor calon mahupun isu yang diperjuangkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 September, 2017.

Istilah tsunami Melayu menjadi popular tahun ini dan turut diperkatakan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin. Ahli Parlimen Pagoh itu menjangkakan tsunami Melayu akan melanda Malaysia pada PRU14 menyebabkan Umno dan BN tersingkir dari Putrajaya.

Kajian dilakukan firma Politweet mendapati BN mendapat 51% undi Melayu di Semenanjung Malaysia pada PRU13. Kajian itu juga mendapati PAS mewakili 21% undi Melayu di Semenanjung Malaysia.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar berkata, istilah tsunami Melayu dilontarkan untuk memberikan harapan dan pemikiran optimis kepada PH untuk memecahkan dominasi Umno di kawasan majoriti Melayu terutamanya di luar bandar.

“Namun begitu, untuk mewujudkan satu gelombang luar biasa sehingga mencecah skala magnitud tsunami dalam pola politik Melayu satu misi yang berat dan mencabar malah hampir mustahil sifatnya.

“Tsunami pada istilahnya ialah berpunca daripada rekahan lapisan bumi bawah permukaan lautan menghasilkan gelombang besar dan membadai secara mengejut. Skala impaknya besar,” kata Hisommudin kepada The Malaysian Insight.

Katanya, melihat kepada pola pengundi Melayu dalam sejarah politik, ada sedikit “gegaran” semasa era Reformasi selepas Dr Mahathir memecat Anwar Ibrahim pada 1998.

“Sehebat goncangan Melayu ketika itu tidak berlaku pada skala nasional kerana pengundi Melayu di zon tengah dan selatan Semenanjung Malaysia tidak mencukupi di samping undi bukan Melayu masih kekal dengan BN ketika itu. Tidak wujud tsunami Melayu.

“Ini kerana pengundi Melayu mereka mengundi lebih kepada atas identifikasi parti. Bahasa mudahnya mengundi kerana parti melebihi atas faktor calon mahupun isu yang diperjuangkan.

“Maka, sudah tentu kepada parti baharu seperti Bersatu dan Amanah mengalami kesukaran untuk merintis dan membuka laluan menubuhkan cawangan, mencari anggota baharu di kawasan seumpama ini,” katanya.

Bekas pensyarah Pusat Pengajian Sains dan Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Dr Ahmad Atory Hussain berkata tsunami Melayu sukar berlaku kerana BN mempunyai kelebihan dari segi jentera dan kewangan.

Katanya, ketika BN dalam proses merapatkan barisan, parti-parti dalam PH sedang cuba dipecahkan gabungan pemerintah itu.

“Faktor Dr Mahathir mampu membantu PH untuk menang PRU14, kalau menang pun menang tipis.

“Tsunami Melayu masih belum kelihatan untuk berlaku. Kalau setakat 10% undi Melayu yang selama ini berpihak kepada BN beralih ke PH itu tidak mustahil berlaku dengan faktor Dr Mahathir,” katanya. – 10 September, 2017.

3 comments:

  1. Tsunami melayu tidak akan menjadi tapi kalau tsunami Islam akan bangkit berkemungkinan, jaga2.

    ReplyDelete
  2. Melayu selagi belum tercekik nak makan, mereka tak akan sedar.Maklumlah katanya ulat dlm batu pun boleh hidup.........melayu serupa ulat ke?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Melayu nak tunggu tanahair jd milik org dan sampai makan pasir,masa tu dah terlambat. Skrg pun tak susah lg ka, sampai budak kolej makan nasi dgn kuah aje. Yg peliknya yg susah tu tak mau sedar2

      Delete