Wednesday, September 20, 2017

Makmurnya hidup kita......tabung derma tahfiz pun dilarikan!

Pasangan suami isteri dicari
RAIHAM MOHD SANUSI  -  20 SEPTEMBER 2017
Rakaman CCTV menunjukkan wajah dua suspek yang melarikan tabung pusat tahfiz di kedai di sebuah stesen minyak di Kerteh.

KERTEH - Polis Kemaman kini sedang mengesan pasangan suami isteri yang melarikan tabung kutipan derma pusat tahfiz di sebuah stesen minyak di Kerteh pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 2 petang.

Menurutnya, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kes kecurian itu didalangi suspek lelaki yang dianggarkan berusia lingkungan 40-an dan suspek wanita berumur 30-an.

"Rakaman CCTV yang berdurasi 37 saat itu menunjukkan pasangan suami isteri itu berpura-pura membeli barang di kedai di stesen minyak berkenaan.

“Suspek lelaki pura-pura bertanyakan tentang barangan kepada seorang pekerja di kaunter sementara seorang lagi pekerja melayan suspek wanita yang mahu buat pembayaran.

“Melihat pekerja kaunter leka melayan suspek wanita, suspek lelaki bertindak mengambil tabung kutipan pusat tahfiz yang diletakkan di kaunter tersebut,” katanya.

Mohd Said berkata, sejurus tabung itu diambil kedua-dua suspek keluar dari kedai terbabit dan melarikan diri.

"Siasatan lanjut kes itu sedang dijalankan bagi mengenal pasti jumlah kerugian dan penglibatan kedua-dua suspek itu dalam kes kecurian sebegitu sebelum ini," katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kedua-dua suspek diharap tampil untuk membantu siasatan.

Mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman menerusi talian 09-859 1999.

No comments:

Post a Comment