Friday, September 8, 2017

Hancurkah Pakatan Harapan tanpa PAS?

Wan Hamidi Hamid
Diterbitkan pada 8 Sep 2017 7:00AM 
ADAT orang bercinta – ada kala manis, ada kala pahit, dan kadangkala terpaksa berpisah. Namun, mungkin muncul kekasih baru atau bertemu seteru lama. Kita tahu begitulah kitarannya walau tak selalunya begitu.

Dalam arena politik tempatan, PAS kini intim dengan Umno. Walaupun PAS tidak menyertai Barisan Nasional, mereka sangat akrab. Atas nama agama, ruang kerjasama kedua-dua parti Melayu itu amat luas.

Persoalannya, di pihak pembangkang Pakatan Harapan, masih ada yang mahu bekerjasama dengan PAS yang sudah jelas riang gembira bersama Umno. Mengapa begitu?

1.Siapa kawan dan lawan PAS hari ini?

Sebenarnya ia berpunca daripada naratif lama, iaitu tanpa PAS, pembangkang akan sukar mendapat undi Melayu. Fahaman bersifat hitam putih ini masih dipegang walaupun sudah wujud alternatifnya, iaitu dua parti majoriti Melayu yang baru, iaitu Bersatu dan Amanah.

Walaupun Amanah masih dianggap kurang sokongan akar umbi – mungkin kerana masih bersaing dengan PAS yang hampir serupa sifat luarannya – ia membawa hasrat PAS era Pakatan Rakyat, iaitu mengutamakan perjuangan rakyat Malaysia berbanding agenda peribadi parti.

Kelahiran Bersatu pula menggugat Umno yang selama ini selesa tanpa lawan yang gagah sejak matinya Semangat 46 kira-kira 20 tahun dahulu. Apatah lagi Bersatu dipimpin oleh Dr Mahathir Mohamad, tokoh besar yang dikagumi ramai rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu, walaupun dibenci sesetengah NGO serta segelintir ahli politik veteran.

Tidak mengejutkan kebencian mereka terhadap bekas Perdana Menteri itu kerana mereka menjadi mangsa tekanan pentadbiran Mahathir sejak akhir 1980-an hingga awal alaf baru. Namun, ramai pula kalangan muda yang lahir selepas 1990-an yang memandang Mahathir sebagai wira yang membawa kemegahan nama Malaysia. Ditambah pula beliau kini menjadi peneraju utama Pakatan Harapan dalam usaha mengakhiri era pentadbiran Najib Razak.

Di sini jelas menunjukkan bahawa selepas kematian Pakatan Rakyat, penggantinya adalah Pakatan Harapan yang mempunyai parti-parti yang sudah mampu mengisi kekosongan PAS.

PAS pula tidak melahirkan blok ketiga. Walaupun ada cakap-cakap tentang Gagasan Sejahtera, ia hanya sekadar PAS dan beberapa parti kecil. Pimpinan PAS dilihat lebih senang hati bersama Najib dan para pemimpin Umno lain.

Jadi, memang sukar untuk difahami mengapa ada pihak dalam Pakatan Harapan yang masih mahu bekerjasama dengan PAS untuk melawan sahabat PAS, iaitu Umno-BN. Adakah tidak yakin dengan kekuatan sendiri dan mood rakyat sekarang?

2. Adakah PAS hari ini sama dengan PAS dahulu?

PAS menang di banyak kerusi pada PRU 2013 kerana sokongan pelbagai kaum, hasil kerjasama Pakatan Rakyat. Malah, DAP dan PKR juga menang atas sokongan yang sama. Jika mana-mana pihak mahu mendabik dada ia adalah kejayaan diri sendiri, ia hanya mencerminkan keangkuhan dan sikap mudah lupa diri.

Kini apabila PAS bersama dengan Umno, ia menyukarkan usahanya mengekalkan kerusi-kerusi yang dimenangi dengan undi bukan-Islam. Malah pengundi Islam yang sebelum ini tidak selesa dengan PAS kerana dasar agama yang dianggap keras dan konservatif juga tidak akan memilih parti itu.

Ini bererti PAS hanya bakal mendapat undi daripada penyokong tegarnya. Pada masa yang sama, ini bererti pihak yang dianggap musuh oleh PAS, iaitu Amanah dan DAP, juga tidak akan mendapat lagi undi daripada para penyokong tegar tersebut. Namun, tidak bererti Bersatu dan PKR tidak akan mendapat undi daripada pengundi yang pernah memilih PAS dalam PRU 2013 lalu.

Yang belum jelas setakat ini ialah sama ada PAS dan Umno akan mewujudkan persefahaman pilihanraya, iaitu a) PAS dan Umno tidak akan bertanding di kerusi yang sama, atau b) PAS dan Umno akan bertembung sesama sendiri di semua kerusi yang mereka tandingi.

Keputusan kerjasama kedua-dua parti itu akan menentukan kesan dalam pilihanraya umum akan datang.

3. Adakah sejarah PRU 1974 akan berulang untuk PAS?

Apabila PAS menyertai BN dan bertanding PRU 1974 sebagai komponen BN, ia tidak bertembung dengan Umno kerana bertanding sebagai rakan gabungan.

Namun, tidak semua penyokong PAS mengundi parti sendiri. Di kubu kuatnya di Kelantan dan Terengganu, sebuah parti kecil Parti Sosialis Rakyat Malaya – walaupun tewas – telah meraih banyak undi di kedua-dua negeri Melayu tersebut.

Sebaliknya, apabila PAS dipecat daripada BN pada 1977, dan kembali bertanding sebagai pembangkang pada PRU 1978, undi yang diperolehi PSRM kembali kepada PAS di dua negeri tersebut. Malah, banyak calon PSRM hilang deposit.

Jika penyokong PAS hari ini tidak selesa melihat para pemimpin mereka bermesra manja dengan para pemimpin Umno, adakah mereka sanggup mengundi calon-calon BN, atau PAS sendiri dalam PRU akan datang? Atau mungkinkah mereka mengulangi apa yang telah dilakukan pada PRU 1974 dahulu?

4. Mahathir masih berpengaruh?

Semakin beliau dihina oleh pimpinan BN, semakin popular Dr Mahathir. Malah, ia menarik perhatian golongan yang selama ini tidak begitu pedulikan politik. Karisma Mahathir – tanpa melupakan sejarah penguasaannya selama 22 tahun – masih kekal. Di media sosial, kata-kata “smart”, “brave”, “cute”, “charismatic”, “sweet”, “charming” untuk menggambarkan dirinya menjadi sebutan ramai. Dalam bahasa Inggeris, ramai juga nama-nama Melayu di media sosial yang menggunakan istilah-istilah tersebut. Suasana ini membimbangkan pucuk pimpinan Umno.

Ini kerana pimpinan Umno-BN sedar bahawa emosi merupakan kuasa penentu undi. Selama ini fakta dan kebenaran pembangkang dengan mudah ditolak tepi melalui penguasaan media. Kini suasana sudah berubah. Mahathir sendiri sudah pandai berselfie.

Malah, melalui media sosial, timbul cerita kononnya penyanyi terkenal Siti Nurhaliza akan menyertai Bersatu, malah mungkin bertanding. Entah betul atau tidak, ia sudah menjadi viral. Hari ini media sosial bukan lagi milik orang kota semata-mata kerana di merata ceruk kampung ia sudah menjadi mainan dan maklumat seharian.

Tanpa PAS sekali pun, peluang Pakatan Harapan cerah untuk menarik undi Melayu melalui kerjasama Bersatu, Amanah dan PKR bersama DAP dalam satu gabungan yang kental. Yang penting ialah keyakinan diri bersama komitmen dalam satu pakatan.

Walau apa pun, jika ada yang masih menagih kasih daripada si dia yang sudah terang-terang menolak cinta, malah mengherdik pula, ia bukan sahaja sia-sia tetapi juga memalukan. Jika si dia mencintai sang kleptokrat, maka kita perlu kembali bersama rakyat untuk menyelamat dan memulihkan watan tercinta ini. – 8 September, 2017.

* Wan Hamidi Hamid merupakan wartawan veteran yang mempunyai minat mendalam terhadap muzik rock.

No comments:

Post a Comment