Saturday, September 30, 2017

Benarkah Nurul Izzah gagal di Lembah Pantai dan cari kerusi di Johor?

Nurul Izzah cari kerusi di Johor sebab gagal di Lembah Pantai, kata pemimpin Umno
TMI  -  Diterbitkan pada 29 Sep 2017 7:11PM
Nurul Izzah Anwar didakwa tidak mampu mempertahankan kerusi Lembah Pantai sekiranya bertanding semula di situ pada Pilihan Raya Umum ke-14 kerana tidak memberi khidmat kepada rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 September, 2017.

NURUL Izzah Anwar hendak lari bertanding di Johor pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kerana didakwa gagal memberikan khidmat kepada penduduk di kawasan Lembah Pantai, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno Ab Aziz Kaprawi.

Aziz mendakwa inilah sikap sebenar pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang gemar berpindah-pindah kawasan yang mereka wakili demi kelangsungan politik peribadi.

“Nurul Izzah sebenarnya telah mendapati dirinya tidak mampu untuk memenangi kerusi Lembah Pantai sekiranya bertanding semula di situ kerana tidak memberi khidmat kepada rakyat.

“Seperti di Lembah Pantai sendiri, saya melihat Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai, Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin lebih memberi khidmat kepada rakyat berbanding Nurul Izzah,” kata Aziz yang juga timbalan menteri pengangkutan dalam satu kenyataan hari ini.

Aziz mengulas laporan Sinar Harian yang memetik analisis akhbar berbahasa Cina Oriental Daily mengatakan empat pemimpin utama PH dikatakan sudah bersedia bertanding di Johor pada PRU14.

Pemimpin yang dimaksudkan ialah Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin; Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang; Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub dan Nurul Izzah.

Nurul Izzah merupakan ahli Parlimen Lembah Pantai selama dua penggal sejak memenanginya buat pertama kali pada PRU12 pada 2008.

The Malaysian Insight sedang berusaha mendapatkan komen daripada Nurul Izzah.

Aziz yang juga ketua Umno Bahagian Sri Gading di Johor memberikan contoh, projek perumahan Residensi Kerinchi yang dilancarkan Perdana Menteri Najib Razak pada Februari lalu merupakan hasil perjuangan Umno Lembah Pantai dan bukannya ahli Parlimen itu.

“Sekiranya Nurul Izzah ingin meneruskan hasrat untuk cuba-cuba bertanding di Johor, beliau hanyalah menempah bala memandangkan beliau sendiri bukan seorang anak tempatan negeri Johor dan tidak mempunyai sebarang jasa yang disumbangkan terhadap masyarakat Johor secara khususnya.

“Saya yakin dan percaya Bangsa Johor tidak akan tertipu dengan propaganda yang hendak dibawa ke negeri ini dan mereka yakin bahawa Nurul Izzah hanya melarikan diri daripada Lembah Pantai atas kegagalan memberi khidmat kepada rakyat,” katanya.

Menurut Aziz, ini adalah bukti terbesar komitmen pemimpin PH yang bertanding pilihan raya bukan bertujuan untuk memberi khidmat kepada rakyat.

“Inilah sikap sebenar pemimpin pembangkang dari PH yang gemar berpindah-pindah kawasan yang diwakilinya demi kelangsungan politik peribadi mereka yang jauh berbeza dengan apa yang dipraktikkan oleh Barisan Nasional (BN) yang mana kebanyakan calon merupakan anak tempatan ataupun sudah lama memberi khidmat kepada kawasan tersebut tidak kira menang atau kalah pilihan raya,” katanya.

Menurut laporan Sinar Harian, analisis yang dibuat Oriental Daily menunjukkan penubuhan Bersatu oleh bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin tidak mencetuskan gelombang ahli Umno keluar secara beramai-ramai daripada parti itu, tetapi ia bukan bermakna parti tunjang BN itu mampu meneruskan pencapaiannya seperti PRU13 lalu.

Pada PRU13 lalu, Pakatan Rakyat Johor memperoleh rekod terbaik apabila memenangi lima daripada 26 kerusi Parlimen yang ia bertanding.

PR yang dianggotai PKR, PAS dan DAP berpecah selepas PRU13 kerana perselisihan faham berhubung isu pelaksanaan hudud di Kelantan. Pakatan pembangkang itu kini digantikan oleh PH yang disertai PKR, DAP, Bersatu dan Amanah.

PAS pula menubuhkan Gagasan Sejahtera bersama beberapa parti kecil lain yang akan memeterai kerjasama itu pada Himpunan Fastaqim 2.0 di Kuala Terengganu hujung minggu ini. – 29 September, 2017

No comments:

Post a Comment