Friday, September 29, 2017

Bagus SPRM tuntut kebebasan penuh tapi kenapa tutup kes 1MDB?

TMI · Diterbitkan pada 28 Sep 2017 7:56PM
Skandal 1MDB telah menghancurkan kebebasan dan profesionalisme SPRM, kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 28 September, 2017.

TINDAKAN Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menuntut kebebasan penuh adalah baik tetapi mengapa agensi itu menutup skandal besar 1Malaysia Development Berhad (1MDB), soal Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata, skandal 1MDB telah menghancurkan kebebasan dan profesionalisme SPRM.

“Mengapa SPRM dan Peguam Negara Apandi Ali melepaskan Perdana Menteri Najib Razak daripada sebarang kesalahan melibatkan skandal 1MDB?” soal Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Lim mengingatkan SPRM tentang tiga persoalan utama dalam skandal 1MDB yang jawapannya sudah ada tetapi tidak diambil tindakan oleh agensi anti rasuah itu.

Tiga persoalan itu ialah: “Sama ada Najib menerima derma RM2.6 bilion daripada keluarga Diraja Saudi, sama ada Najib memulangkan RM2.1 bilion kepada keluarga diraja Saudi dan apakah rantai berlian merah jambu RM144 juta untuk ‘isteri MO1’ datang daripada wang dicuri daripada 1MDB.”

Lim berkata, kesemua jawapan kepada persoalan berkaitan 1MDB itu terkandung dalam 10 perenggan “pembunuh” dalam laporan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat.

“Rakyat Malaysia tidak mengharapkan Dzulkifli atau Apandi untuk membuka semula skandal 1MDB kerana ia hanya boleh dilakukan sekiranya kerajaan baru Pakatan Harapan ditubuhkan selepas PRU14 apabila SPRM akan bertanggungjawab secara langsung kepada Jawatankuasa Parlimen dan bukan kepada Najib atau Paul Low,” katanya.

Lim mengulas kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad membidas cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Paul Low untuk penubuhan Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara (JITN).

Sebaliknya, Dzulkifli berkata Low perlu meminta lebih banyak peruntukan untuk SPRM, meningkatkan aset dan tenaga kerjanya serta memperbaiki kebajikan kakitangan, bukannya menubuhkan sebuah agensi baru.

SPRM pada Jun lepas menjelaskan ia tidak akan menyiasat 1MDB susulan pendedahan DoJ kerana ia siasatan yang dijalankan oleh polis dan agensi anti rasuah itu tidak ada kena-mengena dengan siasatan tersebut.

Ketua Polis Negara yang baru dilantik, Mohamad Fuzi Harun pula minggu lalu berkata polis sudah melengkapkan siasatannya ke atas 1MDB namun tiada sebarang maklumat perlu didedahkan kepada umum pada masa ini.

Polis membentuk pasukan penyiasat itu pada April 2016 bagi menelitik laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai 1MDB, sehari selepas laporan tersebut diserahkan kepada Parlimen.

Laporan itu antara lain menunjukkan salah pengurusan pada pihak bekas CEO 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim, dan mencadangkan beliau disiasat.

Sementara itu, Low hari ini menjelaskan penubuhan JITN bukan bertujuan untuk mempengaruhi siasatan SPRM kerana ia tidak ada kuasa untuk berbuat demikian.

“Bukan setakat SPRM, ia juga termasuk Institut Integriti Malaysia (IIM), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) oleh kerana kesemuanya merupakan institusi bebas,” katanya, seperti dipetik oleh Bernama.

Katanya, cadangan penubuhan JITN bertujuan menerajui perubahan transformasi dalam bina upaya keinstitusian terutamanya di kalangan penjawat awam, untuk memulakan dan memacu perubahan dasar serta memperkukuhkan proses kerajaan. – 28 September, 2017.

1 comment:

  1. Ketua Pengarah SPRM tunggu Ilham sehingga Dia terpancut SPERM agaknye.hehehe

    ReplyDelete