Tuesday, September 26, 2017

Apa kata rakyat: Sekiranya Maju Holdings ambil alih PLUS, tol tidak akan dinaikkan sehingga 20 tahun akan datang

Tawaran saya tiada kenaikan tol PLUS, kata Abu Sahid
Sharon Tan
Dikemaskini 3 jam yang lalu · Diterbitkan pada 26 Sep 2017 7:00AM
Pengerusi Eksekutif Kumpulan Maju Holdings Sdn Bhd, Abu Sahid Mohamed berkata beliau masih menanti isyarat yang memberangsangkan daripada dua pemegang saham PLUS Malaysia Berhad. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 26 September, 2017.

TOKOH korporat yang membuat kejutan dengan bidaan berjumlah RM40 bilion untuk mengambil alih lima lebuh raya PLUS Malaysia Berhad berkata tidak akan ada sebarang kenaikan tol jika beliau berjaya dalam bidaannya.

Tetapi sampai ke hari ini, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Maju Holdings Sdn Bhd, Abu Sahid Mohamed berkata beliau masih belum mendapat sebarang isyarat yang memberangsangkan daripada Kumpulan UEM Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dua pemegang saham PLUS.

Maju Holdings baru-baru ini membuat tawaran untuk membeli 100% pegangan saham PLUS, dan sumber yang mengetahui rundingan itu berkata beliau bercadang membekukan kadar tol untuk 20 tahun akan datang sehingga tempoh konsesi berakhir.

Pemilik Lebuh Raya Maju itu berkata tawarannya itu adalah satu cadangan baru yang bercanggah dengan pemikiran biasa bahawa pemegang konsesi lebuh raya akan rugi tanpa kenaikan tol kerana kebanyakan perjanjian konsesi tol mempunyai klausa kenaikan.

Dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight, Abu Sahid menjelaskan kira-kiranya, dengan menganggarkan kos operasi PLUS pada 42% (walaupun PLUS mengumumkan kos operasinya pada 35%), yang beliau sifatkan sebagai "gila" .

"Mana ada perniagaan dengan kos operasi lebih daripada 40%? Mereka gila," kata Abu Sahid kepada The Malaysian Insight.

Beliau menawarkan tunai RM4 bilion, mengambil alih liabiliti bersyarat RM30 bilion dan mengabaikan RM1 bilion hutang kerajaan kepada PLUS, iaitu ganti rugi Putrajaya kepada pemegang konsesi lebuh raya itu sebagai ganti tidak menaikkan kadar tol sehingga konsesi berakhir pada 2038.

PLUS dimiliki oleh UEM dan KWSP yang masing-masing mempunyai pegangan saham 51% dan 49%. UEM dimiliki sepenuhnya oleh Khazanah Nasional Bhd. Kerajaan mempunyai pegangan saham kencana dalam PLUS.

UEM dan KWSP memperoleh PLUS pada 2010 dan sudah menikmati dividen yang lumayan daripada pengusaha lebuh raya itu.

Menurut satu kenyataan yang difailkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, PLUS sudah membayar sejumlah RM2.85 bilion dalam bentuk dividen kepada pemegang sahamnya, UEM dan KWSP, sehingga 2015.

UEM dan KWSP masing-masing mengatakan mereka tidak berhasrat menjual pegangan dalam PLUS.

Sambil menekan butang pada mesin kira-kiranya untuk membuktikan hujahnya, Abu Sahid berkata tawarannya itu lebih baik untuk rakyat dan negara bagi satu jangka masa panjang.

"Sekarang ini KWSP dapat RM400 juta dalam bentuk dividen. Bahagikan dengan 14.5 juta ahli, setiap seorang dapat RM27.50 setahun. Tawaran saya RM4 bilion kepada KWSP dan UEM. Dengan andaian masing-masing dapat RM2 bilion, setiap pencarum KWSP akan dapat RM137. Dan kadar tol tidak naik sehingga tamat konsesi," katanya.

Berikut adalah petikan wawancara berkenaan:

The Malaysian Insight (TMI): Kenapa tiba-tiba berminat dengan PLUS?

Abu Sahid (AS): Semua pemegang konsesi lebuh raya dipanggil ke satu mesyuarat oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM). Kami diberitahu untuk tidak menaikkan kadar tol. Semua pihak membentangkan alasan kenapa mereka sepatutnya menaikkan kadar tol. Saya naik curiga tentang PLUS.

Lebuh raya mereka sudah lama ada dan sudah diperbaharui (tempoh konsesinya) untuk kali kedua. Kos mereka sepatutnya lebih rendah. Mereka ada lebuh raya yang panjang. Ada skala ekonomi.

Lebih besar, lebih murah. Saya ini ahli perniagaan yang suka menyibuk. Jadi saya cari maklumat dan saya nampak jalan untuk mengurangkan kosnya.

Jadi saya minta penganalisa saya untuk melihat angka-angka itu dan kemudian berhubung dengan firma penasihat perbankan pelaburan bebas Evercore Group LLC. Saya tanya mereka apakah munasabah untuk menguruskan tol tanpa menaikkan kadarnya.

Mereka terperanjat. Selalunya klien mereka tanya berapa banyak boleh dapat daripada kadar tol. Mereka pun kira dan mereka dapati kita boleh uruskan lebuh raya tanpa menaikkan kadar tol termasuk mengambil kira RM30 juta hutang.

Saya bukan nak jadi juara. Saya sudah dalam perniagaan ini selama 40 tahun. Saya sudah buat kira-kira saya.

TMI: Anda pernah pada suatu masa mahu menjual MEX. Jadi kenapa minat hendak beli PLUS sekarang?

AS: Semua benda untuk dijual. Yang tidak boleh dijual hanyalah ibu bapa, isteri dan anak-anak.

Saya tidak pernah kata saya hendak jual MEX. Orang tawar untuk beli. Yang pertama membuat tawaran ialah EP Manufacturing Bhd (EPMB). Kita bersetuju pada satu harga dan saya juga tidak berminat untuk membina MEX 2 jadi saya pun jual. Mereka bayar deposit tetapi ia kemudiannya tidak berhasil. Saya boleh ambil cengkeram itu tetapi sebaliknya saya pulangkan duit tersebut.

Kemudian IJM hendak beli. Saya tidak mahukan duit. Lebih kurang RM1.1 bilion. Tetapi saya mahu 10% saham dalam syarikat. Harga saham pada masa itu RM5.40 tetapi mereka mahu saya ambil pada RM6, dan mereka hanya mahu beri saya pegangan 4.9% dan saya perlu beli baki 5.1% daripada pasaran.

Saya tidak mahu pun kerusi dalam lembaga pengarah tetapi mereka sedar sekiranya saya ada pegangan 10% saham, saya akan jadi pemegang saham tunggal terbesar.

IJM dan Maju ada perniagaan dalam sektor yang sama seperti pembinaan, perladangan dan pembinaan jalan raya. Jadi ia akhirnya tidak berjaya.

TMI: Kenapa mereka hendak jual kepada anda?

AS: Kerana lebuh raya itu tidak diuruskan dengan baik. Ia sangat kotor, ada banyak kemalangan dan banyak lubang. Mereka tidak mendidik masyarakat bagaimana memandu dan menggunakan lebuh raya.

Orang buang botol plastik merata-rata di tengah lebuh raya. Macam mana anda hendak kata lebuh raya itu dikendalikan dengan baik. Semasa Tahun Baru Cina orang memandu 12 jam di atas lebuh raya.

Macam mana hendak kata bagus? Kemudian ada beza antara permukaan yang diturap dan yang ditampal. Mereka tidak beri amaran pun kepada pengguna tentang angin lintang.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan Maju Holdings Sdn Bhd, Abu Sahid Mohamed bercadang membekukan kadar tol untuk 20 tahun akan datang sehingga tempoh konsesi berakhir jika beliau berjaya mengambil alih lima lebuh raya PLUS Malaysia Berhad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 September, 2017

TMI: Apakah ada rancangan untuk meluaskan seluruh lebuh raya kepada sekurang-kurangnya tiga lorong? Bagaimana dengan pemasangan lampu di seluruh lebuh raya? Apa pelan untuk memperbaiki lebuh raya?

AS: LLM menyelia semuanya daripada landskap sampailah kepada pelebaran jalan. Apabila sampai ke Tahap D (tahap kesesakan jalan raya), kita terpaksa lebarkan. Kita mesti buat penyelenggaraan.

Lampu tidak perlu tetapi saya tawarkan untuk pasang lampu sekiranya saya dapat beli PLUS. Dalam perjanjian konsesi MEX, tidak ada keperluan untuk memasang lampu tetapi saya pasang.

Saya mahu menekankan soal keselamatan. Kita akan pasang pemantauan CCTV 24 jam di seluruh lebuh raya dan melabur dalam kenderaan bantuan kecemasan. Saya akan pasang 100 tiang lampu dalam masa sebulan pertama selepas membeli PLUS.

TMI: Berapa kosnya?

AS: Lebih kurang RM3 bilion untuk lampu, naik taraf, pagar pelindung dan mendidik pengguna lebuh raya. Mereka (PLUS) tidak buat semua ini. Kami akan buat lebih baik.

Saya tidak nampak kenapa mereka tidak mahu terima tawaran saya. Ia baik untuk rakyat dan negara. KWSP mengatakan ia mahu melindungi pencarumnya. Sekarang ini mereka dapat RM400 juta dalam bentuk dividen (tahunan) dan mengagihkannya kepada 14.5 juta pencarum.

Ia lebih kurang RM27.50 seorang pencarum setahun. Saya tidak fikir mereka boleh kekalkan dividen ini kerana mereka terpaksa membayar pokok daripada RM30 bilion bon (yang diambil untuk membeli saham PLUS) pada 2020.

Saya juga tidak faham kenapa mereka dibenarkan untuk membayar dividen ketika mereka belum pun mula membayar pokoknya. Jadi bagaimana kalau ia dijamin oleh kerajaan.

Bagaimanapun, apabila saya ambil alih, bon itu akan dinilai sebagai AA. Ia bukannya jaminan kerajaan. Kadar kuponnya ialah 5% hingga 6% berbanding kadar sekarang 3.8%. Anda akan dapat pulangan lebih tinggi dengan saya.

TMI: Bagaimana kalau anda gagal?

AS: Kalau gagal, mereka sudah dapat RM4 bilion yang saya bayar kepada mereka. Dan sekiranya mereka mengambil bahagian dalam bon itu, mereka akan dapat lebuh raya yang sudah dinaikkan tarafnya. Kalau ada orang berhutang dengan anda dan tidak boleh bayar, rumahnya akan jadi milik anda. Anda sudah dapat RM4 bilion. Anda doakan saja saya gagal.

TMI: Bagaimana anda akan menguruskannya tanpa menaikkan tol?

AS: Itu sebabnya saya mahu pasang lampu supaya orang boleh memandu pada waktu malam. Saya mahu mengurangkan kos. Kos mereka (PLUS) sangat tinggi. Kos operasi (opex) mereka lebih daripada 40% (PLUS mengumumkan kos operasinya pada 35% tetapi kira-kira Maju meletakkannya pada 42%). Mana ada perniagaan dengan kos operasi  lebih daripada 40%? Mereka gila.

Saya uruskan MEX pada opex antara 12% hingga 19%. Saya boleh bawa nilai pada PLUS. Saya juga mahu membuka nilai tanah di sepanjang lebuh raya itu.

TMI: Oleh sebab semuanya untuk dijual, apa yang akan menyekat anda daripada kemudian menjual pula PLUS?

AS: Susah sekiranya saya mahu jual PLUS nanti. Tidak banyak orang yang boleh dapatkan RM36 bilion. RM30 bilion untuk liabiliti bersyarat, RM900 juta untuk ganti rugi terhutang, RM4 bilion tunai kepada KWSP dan UEM.

TMI: Tetapi KWSP dan UEM sedang menikmati dividen yang baik?

AS: Dalam masa lima tahun lalu, mereka dapat RM3.6 bilion dividen. Mereka sudah dapat balik modal dan untung RM200 juta. Itu saja. Sekarang saya hendak beri RM4 bilion. Jadi keuntungannya ialah RM4.2 bilion. Sekiranya dibahagi lima, dapat pulangan 20%. Pelaburan apa yang KWSP boleh dapat pulangan seperti itu?

Lagi pula dalam masa 20 tahun akan datang, kenaikan tolnya berjumlah lebih kurang RM20 bilion. Kerajaan akan jimat RM20 bilion. Sekiranya kerajaan tidak mahu naikkan tol, kerajaan terpaksa bayar ganti rugi. Atau rakyat akan terpaksa bayar.

Dengan saya, mereka tidak perlu bayar apa-apa. Kerajaan tidak perlu bayar, orang ramai juga tidak perlu bayar.

KWSP menganggarkan mereka boleh terus membayar dividen. Mereka sudah mengambil dividen sebelum membayar pokoknya. Ini sangat luar biasa. Mereka akan terpaksa membayar pokoknya tidak lama lagi. Jumlah pembayaran semula itu akan meningkat dan jumlah dividen yang mereka dapat daripada PLUS tidak akan bertahan.

TMI: Jadi untuk 20 tahun akan datang bagaimanakah jumlah trafik dan pulangan pelaburan yang anda sasarkan?

AS: Saya jangkakan jumlah trafik akan meningkat sekitar 3% hingga 6% bergantung kepada keadaan ekonomi negara. Bagi ROI pula, ini sebuah syarikat persendirian. Saya tidak ada rakan kongsi yang mengharapkan sesuatu. Tanggungjawab utama saya ialah apakah saya boleh bayar bon tersebut.

Tanggungjawab saya yang seterusnya ialah kepada pengguna. Saya berjanji akan memberikan mereka sebuah lebuh raya yang baik. Hanya kemudian barulah saya memikirkan tentang untung. Sudah tentu saya pun mahu buat duit.

Sekiranya saya boleh bayar bon, saya boleh buat RM200 juta atau RM300 juta, saya gembira. Kalau saya boleh buat RM500 juta, itu bonus. Kalau saya boleh buat lebih daripada itu, saya juara. Kalau saya buat untung RM1 pun, saya gembira. – 26 September, 2017.

5 comments:

  1. Nampak Abu Sahid ini berjiwa rakyat dan islam,,, kita patut menyokong dan berdoa supaya cita2 dan keinginan org2 mcm dia dlm bisnes tercapai,,,

    ReplyDelete
  2. Perlukan kajian.plus menjana cash cow kerajaan,sekali terlepas buruk padahnya

    ReplyDelete
  3. Semoga MEX berjaya ambilalih Plus.

    ReplyDelete
  4. Semua pemegang konsesi lebuh raya dipanggil ke satu mesyuarat oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM). Kami diberitahu untuk tidak menaikkan kadar tol. Semua pihak membentangkan alasan kenapa mereka sepatutnya menaikkan kadar tol..


    Cuma Maju Holdings sahaja yang tidak minta naikkan tol..

    Kalau UEM dan KWSP tidak mahu jual kepada Maju Holdings selama 20 tahun mana-mana konsesi tidak patut naikkan tol.

    Jika sebelum itu LLM panggil lagi mesyuarat untuk memberitahu supaya tidak naikkan tol, memang ada yang tak kena..

    UEM dan KWSP perlu memberi penjelasan mengapa mereka menolak tawaran Maju Holdings.

    ReplyDelete
  5. Haiwey dia punya mana boleh! Dihalaunya ko dari haiwey dia ko nak kata apa sok? Kah kah kah

    ReplyDelete