Monday, September 18, 2017

Anwar pertikai agenda RCI tak terima angka rasmi kerugian BNM

  | September 18, 2017
Bekas menteri kewangan itu turut mahu tumpuan terhadap pelantikan Nor Mohamed Yakcop sebagai menteri kewangan walaupun pernah diarah berundur daripada bank pusat itu.
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mempersoalkan motif Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) menyiasat kerugian Bank Negara Malaysia dalam aktiviti tukaran matawang pada 1990-an, dengan berkata ahli panel seolah-olah sudah pun merumuskan jumlah kerugian bank pusat itu yang berlainan daripada apa yang dilaporkan Ketua Audit Negara ketika itu.
Bekas menteri kewangan itu berkata Pengerusi RCI, Tan Sri Sidek Hassan lebih berminat dengan angka kerugian tidak rasmi sebagaimana tercatat dalam draf laporan oleh Ketua Audit Negara, dan mengabaikan angka rasmi sebagaimana diberitahu dalam laporan muktamad yang dibentangkan kepada Dewan Rakyat.
“Dengan penumpuan Tan Sri Sidek terhadap draf laporan Ketua Audit Negara, ia menimbulkan persoalan sama ada suruhanjaya ini, atau pengerusinya, sudah membuat rumusan mengenai fakta yang akan dimuatkan dalam laporan mereka.
“Saya harap perkara itu tidak akan terjadi,” kata Anwar dalam kenyataannya.
Anwar yang menjadi saksi RCI pada 7 Sep lalu bertegang leher dengan Sidek berhubung jumlah kerugian ditanggung BNM pada 1993.
Menurutnya, beliau memaklumkan Kabinet yang BNM mengalami kerugian RM5.7 bilion dalam perdagangan forex berdasarkan laporan kewangan tahunan bank pusat itu pada 1993 yang sudah pun diaudit.
Sidek bagaimanapun mencelah dengan berkata jumlah kerugian BNM dalam urus niaga itu sebenarnya RM15.391 bilion.
Kami ahli panel RCI sudah baca laporan 1992, tidak ada kerugian dalam BNM.
“Malah, dicatatkan kerugian berjumlah RM15.391 bilion pada 1994, itu yang kena terangkan,” katanya.
Anwar yang merupakan menteri kewangan dari 1991 hingga 1998 berkata adalah prosedur standard supaya kerajaan hanya menerima laporan akhir audit dan bukan draf.
“Saya membentangkan laporan akhir itu kepada Kabinet selepas ia ditanda tangani Ketua Audit Negara kerana ia merupakan tanggungjawab saya. Begitu juga, kenyataan saya berdasarkan kandungan laporan muktamad yang ditanda tangani Ketua Audit Negara dan gabenor BNM dan taklimat dari pegawai.
“Tidak masuk akal untuk saya mencabar penemuan Ketua Audit dan juruaudit dalaman BNM,” kata Anwar.
Menurutnya, jumlah kerugian itu sekali lagi disahkan bekas timbalan menteri kewangan Datuk Donald Lim Siang Chai di Dewan Rakyat pada 24 Sep 2012 “seperti mana saya umumkan pada 1994”.
Anwar turut mempersoalkan sama ada RCI itu mengabaikan isu yang dibangkitkan olehnya berkenaan pelantikan Tan Sri Nor Mohamed Yakcop sebagai menteri kewangan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi, walaupun beliau pernah diarahkan letak jawatan sebagai penasihat BNM.
“Sudah tentu orang ramai mahu tahu apa kepentingan Abdullah dan keluarganya meneruskan pelantikan yang tidak wajar itu.”
RCI kembali bersidang untuk sesi ke-7 hari ini, di mana Dr Mahathir dijangka meneruskan keterangannya. Turut hadir hari ini ialah seorang lag bekas menteri kewangan era Dr Mahathir, Tun Daim Zainuddin.

No comments:

Post a Comment