Saturday, August 19, 2017

Sejarah belum tersingkap........

Ada sejarah belum tersingkap
WARTAWAN SINAR HARIAN 18 OGOS 2017
Empang Jepun dikatakan mula dibina sekitar tahun 1910.

PENGALAMAN dibawa berjalan kaki menelusuri sebahagian terowong di Empang Jepun yang terletak di daerah Jerantut ini ternyata telah memberikan satu pengalaman penerokaan baharu.

Suasana alam semula jadinya yang tenang dan mendamaikan sambil mengamati kesan-kesan peninggalan sejarah yang ada di kawasan berkenaan seolah-olah suatu perjalanan merentasi masa lampau sewaktu zaman penjajahan ketika dulu.

Wartawan Sinar Harian Pahang, Norhafizan Zulkifli terlibat dalam tinjauan itu turut terpegun dengan apa yang disaksikan walau pun kesahihan mengenai sejarah yang ada di sebalik empangan tersebut masih belum tersingkap.

Dibina sekitar 1910  

Empangan yang dikenali dengan nama Empang Jepun oleh penduduk tempatan ini pernah terkenal sebagai lokasi anak-anak muda di Jerantut Feri dan di kawasan sekitarnya mengisi masa lapang dengan aktiviti berkelah dan mandi-manda.    

Suasana alam semula jadinya yang menghijau dan menenangkan sering menjadi lokasi pilihan untuk beristirehat menenangkan fikiran dari urusan harian yang menyesakkan.

Namun di sebalik keindahan dan pemandangan damai itu, masih ramai belum mengetahui sejarah di sebalik empangan berkenaan.  

Pengkaji sejarah Jerantut Feri, Izhar Sulaiman, 61, berkata, Empang Jepun itu dikatakan dibina sekitar 1910.    

Menurut cerita orang lama, empangan itu telah dibina sejak zaman British namun diambil alih tentera Jepun yang menguasai Tanah Melayu sekitar tahun 1941 sehingga 1945, katanya.    

“Sejarah asal Empang Jepun ini masih belum dapat dipastikan lagi memandangkan saya sendiri masih mengumpul data berkaitan empangan ini. Namun apa yang diceritakan penduduk setempat, Empang Jepun ini dibina untuk menyalurkan air bagi tujuan penanaman padi sehingga ke Paya Kangsar, Pulau Tawar,” katanya.
Izhar (depan, kanan) dan Ramli (belakang, kanan) serta penduduk setempat meninjau lokasi Empang Jepun yang merupakan kesan tinggalan sejarah ketika zaman jajahan tentera Jepun.

Tambahnya, empangan itu memiliki satu terowong panjang yang menyalurkan air sehingga ke Paya Kangsar yang dibina di bawah tanah.    

Ketika tinjauan Sinar Harian ke lokasi mendapati hanya sebahagian terowong masih berkeadaan elok manakala sebahagiannya telah roboh.    

Menurut Izhar, sebahagian empangan juga telah roboh namun dikatakan telah dibina semula oleh syarikat pembalakan yang mengambil balak di sekitar kawasan berkenaan.    

Sejarah yang ada belum diketahui

Perjalanan dibawa masuk ke kawasan Empang Jepun antara permulaan melakukan tinjauan yang mengujakan dengan menaiki pacuan empat roda memandangkan faktor jalannya tidak berturap.   

Namun, oleh kerana lokasinya berhampiran pusat rekreasi Sungai Salan menjadikan perjalanan yang perlu dilalui tidak lama.

Dari jalan utama sehingga ke lokasi dituju, hanya mengambil masa kurang 10 minit.    

Ketika berjalan kaki menelusuri sebahagian terowong yang dipenuhi air lebih kurang separas buku lali itu membuatkan sesiapa yang mengetahui tentang sejarah Empang Jepun ini mengimbau kembali zaman penjajahan.    

Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Jerantut Feri, Ramli Jaafar berkata, Empang Jepun amat dikenali oleh penduduk sekitar sehinggakan ramai golongan muda gemar menghabiskan masa di lokasi air Sungai Salan.    

Namun begitu katanya, mereka yang hadir hanya tahu akan keindahan air dan hutan tropika di sekelilingnya tanpa mengetahui sejarah di sebaliknya.    

“Jika kita tahu sejarah di sebaliknya, ia akan membuatkan kita rasa lebih menghargai kesan tinggalan sejarah ini.    

“Justeru kunjungan kita ke lokasi ini bukan sekadar untuk berseronok semata-mata, malah dapat menghayati sejarah di sini,” katanya.    

Potensi lokasi pelancongan

Menurut Pengerusi JKKK Jerantut Feri, Sabri Kamaludin, pihaknya merancang menjadikan kawasan tinggalan sejarah itu sebagai salah satu pusat tarikan pelancongan selain Feri Waterfront bagi Jerantut Feri.     

Katanya, lokasi itu amat sesuai untuk digazet sebagai kawasan pelancongan sebagai usaha JKKK memelihara khazanah yang ada termasuk tinggalan sejarah yang mengimbau kenangan zaman jajahan sebelum negara mencapai Kemerdekaan lebih 60 tahun lalu.    

“Kita telah merancang perkara ini dan kini dalam peringkat perbincangan bersama pemimpin setempat sebelum dibawa ke pihak lebih atas,” katanya.    

Menurutnya, Empang Jepun bukan sahaja berpotensi sebagai salah satu lokasi peminat sejarah malah sesuai untuk mereka yang gemar aktiviti memancing.    

“Saya difahamkan terdapat pelbagai jenis ikan boleh diperoleh termasuk kelah, tengas dan sebarau. Jadi ia amat sesuai untuk kaki pancing,” katanya.

No comments:

Post a Comment