Friday, August 11, 2017

Pindaan RUU 164: Menjawab polemik yang dicetuskan AJK PAS pusat

Khairul Anuar (KA):
*MENJAWAB POLEMIK YANG DICETUSKAN AJK PAS PUSAT MENGENAI PINDAAN RUU 164*

Oleh: PROF. DATO' DR NOOR AZIAH AWAL

Berikut adalah jawapan saya terhadap beberapa kekeliruan yang sengaja atau tidak sengaja yang dicetuskan oleh Ajk Pas Pusat melalui artikel yang ditularkannya bertajuk "RUU 164 : TRAGEDI MALANG BUAT UMAT ISLAM DI NEGARA INI"

ISU PERTAMA

"6. PAS ada sebab yang kukuh untuk menentangnya, dan bukan bangkit menentang secara semberono atau untuk meraih kepentingan politik demi populariti semata-mata. RUU 164 ini perlu ditarik balik dengan alasan yang sangat jelas dan kuat, iaitu ianya bercanggah dengan undang-undang persekutuan sedia ada seperti Seksyen 46 (2) Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 2003 dan juga bercanggah dengan peruntukan Perkara 121 1A Perlembagaan Persekutuan."

*JAWAPAN BALAS:*

Pindaan yang dinyatakan dalam RUU 164 tidak sama sekali bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan kerana hal ehwal orang Islam dan undang-undang Islam adalah di bawah bidang kuasa negeri dan Mahkamah Syariah sebagaimana termaktub di bawah Perlembagaan itu sendiri. Isu utama di bawah Akta 164 melibatkan perkahwinan bukan Islam yang melibatkan suami isteri yang bukan Islam. Jelasnya jika pindaan ini tidak dibuat, pasangan yang telah memeluk Islam akan teraniaya kerana dia tidak boleh memohon untuk membubar perkahwinan bukan Islamnya kerana Seksyen 51 yang lama hanya membenarkan permohonan bagi pasangan yang tidak memeluk Islam. Manakala pasangan yang telah memeluk Islam pula tidak boleh memohon kepada Mahkamah Syariah kerana enakmen tiada bidangkuasa untuk mendengar permohonan pembubaran perkahwinan bukan Islam atau hadanah anak dari perkahwinan bukan Islam. Pindaan 121(1A) jelas memisahkan bidang kuasa kedua Mahkamah Sivil dan Syariah.

ISU KEDUA

"7. Apa yang dibimbangkan adalah, RUU 164 membahayakan kepentingan umat Islam di negara ini. Antara bahaya yang bakal menjelma hasil dari RUU 164 ini adalah seorang anak yang dilahirkan oleh ibubapa Islam tidak mengharuskan secara terus menjadi orang Islam. Selain itu, RUU 164 ini memperuntukkan bahawa orang bukan Islam tidak dikehendaki menganut Islam sekiranya ingin berkahwin dengan orang Islam. Sebaliknya, orang Islam hendaklah dibenarkan keluar dari Islam sekiranya ingin berkahwin dengan orang bukan Islam tanpa boleh dikenakan apa-apa tindakan undang-undang."

*JAWAPAN BALAS :*

YB PAS mungkin kurang faham Akta 164. Kenyataan tersebut jelas menyimpang dengan maksud Akta 164. Akta ini hanya terpakai kepada orang bukan Islam (yang telah berkahwin di bawah Akta 164). Isu timbul bila salah seorang pasangan memeluk Islam yang mana Akta ini tidak boleh digunapakai untuk mereka yang beragama Islam. Implikasinya adalah perkahwinannya terdahulu tergantung atau "limping marriages". Namun pindaan ini menyelesaikan isu ini. Pasangan yang telah masuk Islam boleh memohon cerai di bawah Akta ini kerana sudah wujud bidangkuasa Mahkamah Sivil terhadapnya. Uniknya tanggungjawab sebelum dia memeluk Islam tidak berubah dengan pengislamannya. Malah dia masih wajib menyara anak-anak bukan Islamnya. Perkahwinan bukan Islam adalah merupakan kontrak dan pertukaran agama tidak melupuskan tanggungjawab kontraknya. Keunikan ini menzahirkan lagi prinsip keadilan dalam Islam.

ISU KETIGA

"8. Antara lain, hak umat Islam yang terlucut hasil dari RUU 164 ini ialah seseorang atau pasangan suami isteri yang menukar agamanya dengan memeluk Islam tidak patut diberikan hak jagaan anak. Bahkan orang bukan Islam yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan seseorang yang memeluk Islam hendaklah diberikan hak menuntut harta pusakanya selepas kematiannya."

*JAWAPAN BALAS:*

Memeluk Islam tidak melupuskan tanggungjawab sebelum menjadi Islam.
Pindaan yang dibuat terhadap Akta 164 ini hakikatnya memberi ruang kepada pihak yang telah memeluk Islam untuk menuntut hadanah, harta dan nafkah hasil dari perkahwinan dengan bukan Islam. Sebelum pindaan mualaf tidak boleh buat apa-apa dan ternafi haknya hanya kerana telah memeluk Islam.

ISU KEEMPAT

"9. Dengan meluluskan Akta RUU 164, bererti kekalahan besar terhadap kepentingan Islam dan kemenangan moral buat pembenci Islam di negara ini. Selepas ini, satu demi satu hak umat Islam terlucut, ditarik, ditukar dengan memberikan pelbagai kelebihan buat sesiapa untuk murtad, menukar agama, dan mengikis hak terutama penjagaan hak terhadap anak-anak."

*JAWAPAN BALAS :*

Akta 164 tiada kena mengena dengan isu status agama anak. Ia hanya memberi jalan keluar kepada Mualaf untuk meneruskan kehidupannya di masa akan datang jika pasangan bukan Islam tidak mahu memeluk Islam.

ISU KELIMA

"10. Semoga tragedi di Parlimen pada 9 Ogos 2017 membuka mata rakyat bahawa kerajaan pimpinan UMNO-BN tidak boleh diharap untuk membela agama Islam. Selama mereka memerintah, selama itulah umat Islam akan terus tergadai dan terabai. Di sisi yang lain, kelihatan jelas parti-parti pembangkang bukan pembela Islam sejati, sebaliknya hanya menjadikan Islam sebagai bahan pelaris produk mereka sahaja. Ketika sempit, Islam dijulang dan ketika ingin mencapai sesuatu, Islam dibuang! Bayangkan kalau mereka memerintah kelak, apa akan jadi kepada nasib umat Islam di negara ini?"

*JAWAPAN BALAS:*

Tiada tragedi yang berlaku malah satu kebaikan atau hikmah dan sinar baru kepada sistem keadilan Islam di negara ini. Almarhum Prof Tan Sri Ahmad Ibrahim, arkitek Sistem Perundangan Syariah Negara telah mengusulkan pindaan ini sejak 1986 lagi dan Alhamdulillah Allah telah memberi kekuatan ini kepada barisan kepimpinan BARISAN NASIONAL untuk meminda Akta 164 kelmarin. Islam akan lebih dihormati kerana orang Islam tidak menganiaya sesiapa malah mengembalikan hak kepada yang berhak. Ia juga memberikan isyarat kepada semua agar tidak menyalahgunakan agama untuk kepentingan diri sendiri. Yang paling utama juga membawa mesej penting bahawa memeluk Islam Islam tidak sesekali memutuskan hubungan ayah /ibu dengan anak masing-masing .

Semoga sirna di Parlimen pada 9 Ogos 2017 terus menyinarkan cahaya Islam di bumi Malaysia di bawah kepimpinan Kerajaan yang sedia ada untuk terus istiqomah dalam memartabatkan Islam sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Negara dan mewajahkan Islam yang sebenar berteraskan prinsip Keadilan dan Rahmat kepada seluruh Alam.

*Prof. Dato' Dr Noor Aziah Awal ialah Profesor Undang-undang Keluarga, Wanita dan Kanak-kanak, Universiti Kebangsaan Malaysia dan juga Ahli Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS)
Ini respon terus kepada artikel Ust Riduan Mohd Nor dari Ust Zulkarnain AMANAH Perlis.

JANGANLAH MERAPU KAWAN!
(Respon Kepada Tulisan Riduan Md Nor - AJK Pas Pusat)

Dalam tulisannya, Riduan Md Nor (RMN) menyerang Amanah secara merapu berkaitan isu pindaan Akta 164, apabila dia berkata pindaan akta itu membahayakan kepentingan umat Islam di negara ini.

Antara merapunya ialah:

KATA RMN 1
Antara bahaya yang bakal menjelma ialah seorang anak yang dilahirkan oleh ibubapa Islam tidak mengharuskan secara terus menjadi orang Islam.

RESPON
i. Jika anak itu dilahirkan oleh ibubapa Islam, anak itu terus jadi Islamlah. Mana ada dalam akta itu peruntukan sebaliknya.

ii. Peruntukan yg dicadangkan akan dimasukkan ialah, jika anak bawah umur yg salah seorang ibu bapanya memeluk Islam, anak itu tidak terus menjadi Islam.

iii. Tetapi, seksyen itu ditarik balik. Jika tidak ditarik balik sekalipun, seksyen itu dibuat demi maslahah anak di bawah umur itu iaitu mendapat kasih sayang dan penjagaan yg sepatutnya.

KATA RMN 2
Orang bukan Islam tidak dikehendaki menganut Islam sekiranya ingin berkahwin dengan orang Islam.

RESPON
i. Mana boleh berlaku orang bukan Islam yg nak berkahwin dgn orang Islam tak perlu masuk Islam. Sebab orang Islam yg ingin berkahwin perlu membuat permohonan.

ii. Jika orang Islam memohon utk berkahwin dgn orang bukan Islam, permohonannya akan ditolak. Macam mana perkahwinan akan berlaku jika permohonan ditolak?

KATA RMN 3
Tetapi, orang Islam hendaklah dibenarkan keluar dari Islam sekiranya ingin berkahwin dengan orang bukan Islam tanpa boleh dikenakan tindakan undang-undang.

RESPON
i. Orang Islam yg ingin keluar Islam perlu mengemukakan permohonan kepada mahkamah.

ii. Wujudkah undang-undang yg menghendaki mahkamah membenarkan orang Islam untuk keluar Islam jika ingin berkahwin?

KATA RMN 4
Seseorang atau pasangan suami isteri yang menukar agamanya dengan memeluk Islam tidak patut diberikan hak jagaan anak.

RESPON
i. Jika anak masih di bawah umur dan yg memeluk Islam adalah ibunya, maka anak itu akan tinggal dgn ibunya yg Islam.

ii. Jika pihak yg memeluk Islam adalah bapanya, anak bawah umur itu akan tinggal bersama ibunya walaupun ibunya belum Islam sebab tempat seorang anak adalah bersama ibu demi kepentingan kehidupan anak.

iii. Bapanya yg Islam hendaklah terus menyara anak itu, mengambil berat dan mendidik anak itu supaya terpikat dgn Islam setelah dia berhak memilih agamanya sendiri.

iv. Di sinilah peranan bapa sangat diperlukan dalam dakwah. Dan jika bapa berupaya menampilkan akhlak yg baik, anak itu akan terpikat dgn keislaman bapanya.

KATA RMN 5
Bahkan orang bukan Islam yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan seseorang yang memeluk Islam hendaklah diberikan hak menuntut harta pusakanya selepas kematiannya.

RESPON
i. Bukan diberikan hak menuntut harta pusaka tetapi hak menuntut harta yg diperolehi bersama semasa perkahwinan.

ii. Harta sepencarian itu hendaklah diagihkan secara adil antara pasangan suami isteri itu. Nafkah anak mesti ditanggung oleh bapa.

iii. Jika timbul pertikaian tentang harta pesaka, rujukannya adalah mahkamah syariah.

KATA RMN 6
Dengan kelulusan pindaan ini, bererti kekalahan besar terhadap kepentingan Islam dan kemenangan moral buat pembenci Islam di negara ini.

RESPON
i. Kenapa Riduan kata Islam kalah besar? Jika Pas yg kalah undian dlm parlimen, itu kekalahan Pas bukan kekalahan Islam.

ii. Pas kalah tak semestinya Islam kalah. Riduan rasa hanya Pas saja yg berjuang Islam?

iii. Pindaan ini memberi ruang Islam dipandang hormat oleh orang lain apabila orang Islam menunaikan hak dan tanggungjawabnya dgn sempurna.

iv. Ini kemenangan Islam dalam tenpoh jangka panjang bukan kekalahan.

KATA RMN 7
Selepas ini, satu demi satu hak umat Islam terlucut, ditarik, ditukar dengan memberikan pelbagai kelebihan buat sesiapa untuk murtad, menukar agama, dan mengikis hak terutama penjgaan hak terhadap anak-anak.

RESPON
i. Paranoid! Pindaan ini tidak melucutkan hak orang Islam bahkan memartabatkan mahkamah syariah serta membantu perkembangan dakwah dan memperkukuh hubungan antara muslim dan non muslim.

ii. Kelebihan utk orang murtad? Murtad berlaku walaupun tanpa pindaan akta ini, bahkan semenjak zaman Nabi lagi murtad berlaku.

iii. Orang murtad tidak pernah mendapat tempat istimewa dalam mana-mana masyarakat. Bagaimana boleh dikata pindaan akta ini kelebihan untuk mereka?

iv. Murtad tiada kaitan dgn akta tapi berkaitan dgn perangai orang Islam yg gagal dalam dakwah dan akhlak mereka utk menonjolkan keindahan dan rahmat Islam.

1 comment:

  1. Murtad tiada kaitan dgn akta tapi berkaitan dgn perangai orang Islam yg gagal dalam dakwah dan akhlak mereka utk menonjolkan keindahan dan rahmat Islam.

    rasuah berkaitan ngan perangai jugak tapi ada
    akta pulak
    akta untuk cegah ornag Islam murtad bila nak buat ???
    hukum untuk penzina bila amno nak buat ???
    bila bila

    ReplyDelete