Monday, August 7, 2017

Adakah apa kata Dr. Mahathir sekarang terpakai?

Pelantikan Raus lebih teruk daripada pemecatan Salleh Abas, kata Nurul Izzah
Desmond Davidson
Diterbitkan pada 6 Aug 2017 8:00AM 
Nurul Izzah menyifatkan kesan krisis lanjutan khidmat Ketua Hakim Negara Md Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan Zulkefli Ahmad Makinuddin akan dirasai seluruh rakyat Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Ogos, 2017.

NAIB Presiden PKR Nurul Izzah Anwar menyifatkan pelanjutan khidmat dan pelantikan semula Ketua Hakim Negara Md Raus Sharif “lebih teruk” daripada pemecatan Presiden Mahkamah Rayuan Salleh Abas pada 1988 ketika pentadbiran Dr Mahathir Mohamad.

Pemecatan itu mencetuskan krisis Perlembagaan 1988 dan ramai rakyat Malaysia merasakan pemecatan Salleh dan dua orang lagi hakim Mahkamah Persekutuan itu sebagai titik gelap dan permulaan kekangan kepada kebebasan institusi kehakiman Malaysia.

Ahli Parlimen Lembah Pantai dan anak Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim yang kini merengkok dalam penjara berkata, tindakan Perdana Menteri Najib Razak melantik semula Raus dan Presiden Mahkamah Rayuan Zulkefli Ahmad Makinuddin tiada bezanya dengan tindakan Dr Mahathir dahulu.

“Ia pelanggaran melampau ke dalam (institusi) kehakiman kita,” katanya.

“Jelas sekali dia (Najib) mahu terus menekan (institusi) kehakiman. Najib bukan hanya cetuskan kemarahan ramai kerana keputusan itu, dia juga merendahkan (institusi) kehakiman Malaysia,” kata Izzah menyentuh mengenai pelantikan semula Raus dan Zulkefli walaupun mereka sudah melepasi umur persaraan wajib.

Bercakap kepada The Malaysian Insight di rumah terbuka PKR di Kuching, dia berkata dia merasa “sangat sedih” kerana apa yang dilakukan Najib “bukan sekadar soal menang pilihan raya atau kelangsungan parti politik tertentu”.

“Pelantikan itu menjejaskan institusi demokratik kita.

“Kehakiman adalah dinding pertahanan (dari institusi) perundangan. Jadi ke mana lagi kita hendak pergi (semak imbang) sekarang?

“Saya tak tahu apa yang Najib fikir.

“Yang saya tahu ini adalah cubaan terdesak rejim kleptokratik untuk terus pegang kuasa.

“Kesan keputusan Najib bukan hanya pada institusi kehakiman tetapi juga kepada semua rakyat Malaysia dan tengoklah kesan buruk yang akan dirasai kita (rakyat Malaysia) nanti,” katanya.

Adun Batu Lintang, See Chee How berkata memandangkan upacara angkat sumpah ketua hakim negara adalah upacara penting ia perlu dilakukan dengan cara yang penuh maruah.

“Anda tak buat di tengah malam sebab bimbang jika tunggu siang, orang lain akan datang dan rampas jawatan itu.

“Ya, kita ada ahli politik buat begitu tetapi ini ketua hakim negara.

“Dia tak boleh buat apa yang ahli politik buat.

“Ia mencerminkan Malaysia.

“Saya tak rasa negara lain buat upacara angkat sumpah ketua hakim mereka pada tengah malam.”

See, seorang peguam senior di Sarawak berkata dia tidak pasti sama ada pelantikan itu “(ikut) Perlembagaan, sah, betul atau salah” tetapi dia tahu yang pelantikan itu dicabar ramai orang dan kerana itu mesti ada perkara yang tidak kena.

Pelantikan itu mencetuskan bantahan ramai termasuklah kepimpinan Pakatan Harapan yang menghantar memorandum kepada Yang Di Pertua Agong dan keputusan Badan Peguam Malaysia untuk memfailkan cabaran menentang pelantikan itu.

Badan Peguam Malaysia mengatakan pelantikan itu melanggar Perlembagaan.

Pada mesyuarat luar biasa badan itu Khamis lepas, ia juga meluluskan usul menghalang ahlinya daripada menghadiri majlis sosial atau interaksi sosial dengan Raus dan Zulkefli. – 6 Ogos, 2017.

No comments:

Post a Comment