Sunday, July 23, 2017

Saya tidak akan ditangkap sebelum PRU: Kenapa Dr. Mahathir begitu yakin?

Saya tidak akan ditangkap sebelum PRU, kata Dr Mahathir

  | July 22, 2017
Pengerusi PH dakwa BN mahu menggunakan skandal dagangan mata wang asing untuk menangkapnya supaya beliau tidak terlibat dalam PRU-14.
PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad yakin beliau tidak akan ditangkap sebelum pilihan raya umum akan datang.
Dr Mahathir berkata walaupun kerajaan Barisan Nasional akan cuba menangkap beliau menggunakan suruhanjaya siasatan diraja (RC) yang ditubuhkan untuk menyiasat kerugian dagangan mata wang asing yang dialami Bank Negara Malaysia (BNM) pada awal 1990-an, beliau percaya akan bebas sehingga PRU-14.
“Mereka bukan sahaja mahu memburukkan saya. Saya fikir mereka mahu tangkap saya supaya saya tidak terlibat dalam pilihan raya umum nanti.
“Apa yang dia mahu ialah singkirkan saya. Setakat ini belum berjaya, tetapi dia akan fikirkan sesuatu,” kata Dr Mahathir, merujuk kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
“Tapi kalau pun mereka dakwa saya, pendengaran di mahkamah akam ambil masa yang lama. Sementara itu, saya bebas berkempen.
“Saya akan bebas, sehingga pilihan raya umum,” kata ahli politik berusia 92 tahun itu kepada pemberita di majlis rumah terbuka anjuran ahli politik DAP Datuk Zaid Ibrahim hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai RCI yang ditubuhkan untuk menyiasat kerugian yang ditanggung BNM pada 1990-an akibat dagangan mata wang asing semasa beliau menjadi perdana menteri.
Putrajaya antara lain berkata RCI akan mengesyorkan langkah yang perlu diambil terhadap mereka yang didapati terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam skandal itu.
RCI diberi tempoh masa 3 bulan untuk menyelesaikan siasatan mereka dan menyerahkan laporan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Sementara itu, ketika ditanya apakah beliau sedia dengan prospek dihumban ke penjara, Dr Mahathir berkata, “saya tidak boleh buat apa-apa, kalau kedaulatan undang-undang tidak lagi didaulatkan di Malaysia”.
“Orang ramai buat laporan polis terhadap Najib, dan orang itu yang ditahan dan didakwa di mahkamah.”
Dipercayai Dr Mahathir merujuk kepada dakwaan terhadap bekas Ketua Umum Bahagian Batu Kawan Datuk Khairuddin Abu Hassan dan peguam Matthias Chang, yang tahun lalu ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atas dakwaan mensabotaj perkhidmatan kewangan.
Mereka dituduh berbuat demikian selepas membuat laporan polis terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Singapura, Switzerland dan Perancis dan Hong Kong.
Dr Mahathir menafikan dakwaan beliau bertanggungjawab dalam skandal dagangan mata wang asing BNM, dan berkata walaupun sedar beliau perdana menteri ketika itu, BNM bertindak secara bebas pada masa itu.
Dr Mahathir berkata beliau tidak boleh dipertanggungajawabkan di atas kesalahan bank pusat itu.
“Kami siasat, kami siar semua penemuan kami, kami tidak sembunyikan di bawah Akta Rahsia Rasmi. Kemudian, kami bahas di Parlimen, di mana dakwaan salah laku disangkal.
“Jadi, mereka boleh dakwa saya, tetapi tidak boleh tahan saya tanpa sebab,” tambahnya.

No comments:

Post a Comment