Tuesday, June 20, 2017

Pengarah Kemas pun tibai juga.......

Pengarah Kemas didakwa guna wang aktiviti haram

  | June 19, 2017
Tertuduh menggunakan cek bernilai RM100,000 hasil aktiviti haram untuk membayar deposit rumah berkembar 2 tingkat di Setia Alam.
SHAH ALAM: Bekas pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Selangor, Mohd Adnan Md Daud dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menggunakan cek bernilai RM100,000 hasil aktiviti haram bagi tujuan pembayaran deposit rumah, 2 tahun lepas.
Mohd Adnan, 54, yang kini pengarah Bahagian Pembangunan Komuniti Kemas Putrajaya, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.
Dia didakwa menggunakan cek Malayan Banking Bhd (Maybank) bernilai RM100,000 bagi tujuan pembayaran deposit rumah berkembar 2 tingkat di Seksyen U13, Setia Alam di mana sejumlah RM86,053.22 daripada jumlah asal diperoleh daripada hasil aktiviti haram.
Mohd Adnan didakwa melakukan kesalahan itu di Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Tingkat 2 & 3, Kompleks PKNSpada 8 Jan 2015.
Dia didakwa di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang 5 kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohammed Heikal Ismail mencadangkan supaya Mohd Adnan dibebaskan dengan jaminan RM100,000 serta seorang penjamin.
Peguam Lissa Sukri yang mewakili Mohd Adnan bagaimanapun memohon mahkamah menetapkan ikat jamin paling minimum atas alasan anak guamnya dituduh di Mahkamah Sesyen Alor Setar, Kedah, semalam atas tuduhan menerima rasuah RM159,053.22 yang melibatkan transaksi sama.
“Semalam pihak pendakwaan juga cadangkan jaminan RM100,000 dan mahkamah benarkan anak guam saya dijamin RM80,000. Mohon mahkamah ambil kira anak guam saya adalah seorang penjawat awam berjawatan pengarah dan tiada sebab untuk dia melarikan diri.
“Anak guam saya juga perlu menanggung 6 anak di mana 4 masih kecil iaitu yang bongsu berumur 2 bulan sementara 2 masih menuntut di institusi pengajian tinggi. Selain itu, beliau perlu menanggung ibu yang menghidap sakit tulang belakang,” katanya.
Hakim Ahmad Zamzani kemudian menetapkan ikat jamin ke atas Mohd Adnan sebanyak RM90,000 serta seorang penjamin.
Hakim turut membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar untuk dibicarakan bersama kes rasuah yang dihadapi tertuduh selain menetapkan tarikh sebutan yang sama iaitu pada 31 Julai depan.

1 comment:

  1. penjawat awam apa perlu diambil kira kalau dah melakukan kesalahhan
    patutnya lagi berat hukuman

    Anak guam saya juga perlu menanggung 6 anak di mana 4 masih kecil iaitu yang bongsu berumur 2 bulan sementara 2 masih menuntut di institusi pengajian tinggi. Selain itu, beliau perlu menanggung ibu yang menghidap sakit tulang belakang

    merintih konon macam gampang

    ReplyDelete