Tuesday, May 9, 2017

Siapa pencipta Daesh?

Daesh ciptaan barat
JANATUL FIRDAUS YAACOB DAN AMMAR MUBASYIR
8 MEI 2017
BEKAS Ketua Mujahidin Malaysia, Zainon Ismail atau C.N. Al-Afghani yang pernah berkhidmat sebagai pejuang semasa perang Soviet di Afghanistan menggambarkan gerakan pelampau yang bertopengkan Islam dalam pergolakan di Syria ketika ini sebagai mujahidin ciptaan Amerika Syarikat.

Beliau mendakwa Amerika Syarikat sengaja memprogramkan keganasan bagi menunjukkan kepada dunia bahawa inilah orang Islam; teroris dan ganas.

“Pendapat saya, Amerika Syarikat berjaya dengan doktrin mereka melabelkan mujahid Islam ini ganas. Amerika Syarikat mengambil iktibar pengalaman kegagalan perang di Afghanistan. Mereka tak mahu dilihat gerakan mujahidin ini sebagai tentera Islam yang berakhlak dan bersih.


“Peperangan di Afghanistan lalu, mujahidin telah memaparkan akhlak mulia, mereka mendapat simpati meluas bukan saja di kalangan orang Islam malah bukan Islam,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau yang mesra disapa Cikgu Zainon berkata, situasi penerimaan masyarakat dunia terhadap perjuangan mujahidin Afghanistan membuatkan Amerika Syarikat tidak senang duduk.

“Jadi, untuk merosakkan imej mujahidin di Syria, Amerika Syarikat membentuk mujahidin mereka sendiri. Mujahidin rekaan Amerika Syarikat ini direkrut di kalangan penduduk tempatan (Syria) yang bukan Islamik, lebih bersifat nasionalis dan sekular.

“Mereka ini diberi latihan senjata kemudiannya bangun memberontak pemerintahan Presiden Syria, Bashar al-Assad. Satu puak menentang rejim Bashar dan satu puak lagi memerangi kumpulan mujahidin sebenar. Kemudian mereka ciptakan kumpulan-kumpulan ini dengan pelbagai nama iaitu ISIS, IS dan kini Daesh. Siapa yang ciptakan semua ini kalau bukan Amerika Syarikat,” tegasnya.

Cikgu Zainon yang pernah mengajar subjek Bahasa Melayu dan Sejarah sebelum menyertai berjihad di bumi Afghanistan 1988, mendakwa kumpulan mujahidin tajaan Amerika Syarikat timbulkan fitnah terhadap Islam.

Katanya, tindakan mereka menangkap orang awam, petugas-petugas kemanusiaan dari luar negara sama ada Islam atau bukan Islam telah memburukkan lagi keadaan.

“Ketika kami berjuang di Afghanistan, ada orang-orang luar yang bukan Islam, Kristian pun ramai, begitu juga NGO  turun bantu penduduk. Tapi kami tak ganggu atau ancam mereka atas dasar kemanusiaan.

“Melalui pengalaman, kami tak percaya kekejaman itu dilakukan oleh mujahidin yang betul-betul beriman kepada ALLAH.

“Salah satu contoh yang jelas dan pelik. Kenapa tawanan-tawanan Daesh pakai seragam oren seperti banduan di kem tahanan Guantanamo. Untuk apa mujahidin nak habiskan duit  tempah seragam tawanan? Umum maklum kem tahanan Guantanamo ialah banduan Amerika Syarikat, ini bermakna seragam oren itu juga ditaja,” dakwanya.

Penulis dan penceramah awam itu turut mempertikai tindakan pelampau Daesh yang membawa tawanan ke kawasan lapang dengan menutup muka kemudian menyembelih dalam keadaan memakai seragam oren.

“Daesh tak pilih sama ada tawanan Islam, bukan Islam, walaupun perempuan. Perkara ini bercanggah dengan ajaran Islam. Mujahidin beriman tak akan bertindak seperti itu sebab matlamat mereka untuk capai syurga firdaus dan gugur syahid. Tindakan kejam itu akan humban mereka ke neraka.

“Rasulullah SAW menggariskan hukum dalam perang golongan tidak boleh dibunuh iaitu wanita, kanak-kanak, orang tua dan orang tidak bersenjata walaupun musuh.Daesh tak pilih semua dibunuh, tindakan kejam mereka cetus buruk sangka terhadap Islam,” katanya.

Ketika ditanya risiko ancaman dan ugutan militan Daesh, beliau berkata, itu hanya amaran kerana mereka tidak mampu pulang ke tanah air dan memberontak.

Selaku bekas Ketua Mujahidin, tegasnya suasana yang berlaku di Syria ini tidak mencerminkan jihad sejati kerana ia telah mendatangkan fitnah kepada Islam.

Menurutnya, masyarakat dunia fobia dengan Islam sehingga umat Islam di Eropah hidup dalam ketakutan, malah mereka menjadi sasaran tindak balas.

“Masjid dibakar, umat Islam dipukul. Ini  kejayaan Amerika Syarikat menguar-uarkan mujahidin ganas, teroris dan orang Islam pengganas. Ini fitnah Amerika Syarikat supaya seluruh dunia benci kepada Islam dan ideologi ini berjaya di Eropah,” katanya.

Pendedahan yang dikemukakan beliau, selari dengan pembongkaran yang dibuat oleh bekas Juruteknik Komputer Agensi Keselamatan Kebangsaan (NSA) Amerika Syarikat, Edward Snowden pada 2015.

Snowden mendedahkan Daesh boneka ciptaan Amerika Syarikat, malah mengaitkan dua negara lain iaitu Britain dan Israel.

Cikgu Zainon menyeru anak muda di Malaysia berhati-hati dan tidak terpengaruh ideologi pelampau.

No comments:

Post a Comment