Sunday, May 7, 2017

Kenapa mereka ini dipinggirkan?

* Adakah mereka dilihat menongkah arus?

Ketepi Mustafa untuk cepatkan perkahwinan Pas Umno, dakwa penulis
07 Mei 2017 | MALAYSIA DATELINE
Mustafa diketepikan terus dari Pas 
Iskandar diketepikan dari mengetuai Pas Selangor.

Tindakan mengenepikan Datuk Mustafa Ali sebagai ketua pengarah pilihan raya dan Datuk Iskandar Samad sebagai Pesuruhjaya Pas Selangor adalah sambungan usaha untuk mempastikan Pas boleh bekerjasama dengan Umno, kata penganalisis.

Mohd Sayuti Omar melalui blognya menulis, tindakan ini dibuat selepas 18 rakan mereka yang menentang kerjasama dengan Umno dibuang dua tahun lalu sehingga tertubuhnya Amanah.

"Dua tahun lepas Pas telah membuang 18 orang hulubangnya dalam muktamarnya di Kuala Selangor. Mereka itu boleh dianggap sebagai adik abang yang menentang percintaan haram Pas dengan Umno.

"Kerana penentangan itu maka mereka dibuang atau dihalau dari rumah Pas menerusi muktamar. Dengan pemergian para penentang itu ia menyenangkan kerja-kerja untuk mempersandingkan Pas dengan Umno," tulis Sayuti dalam blognya.

Mustafa terkenal dengan usahanya untuk merapatkan Pas dengan pembangkang lain khasnya PKR dan Bersatu. Beliau dan timbalan presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dilihat selalu bertemu dengan Tun Dr Mahathir Mohamad (penasihat Bersatu), Tan Sri Muhyidin Yassin (presiden Bersatu) dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (timbalan presiden PKR yang juga MB Selangor.) 
Mohd Sayuti Omar...'perkahwinan' antara Pas dan Umno akan berlangsung

Bagi Sayuti yang banyak mengamati politik Pas, pengumuman pelantikan pegawai eksekutif (kabinet) parti dibuat semalam yang menyaksikan perubahan tidak disangka-sangka itu bolehlah dianggap sebagai penyempurnaan segala kerja yang dirancang selama ini.

"Perkembangan ini -- pembentukan eksekutif itu menyebabkan sesiapa yang tahu kilasan ikan di air dapat meneka jantan atau betina, tidak dapat menafikan yang Pas akan bersanding dengan Umno," tulisnya.

Bagi beliau, mereka yang tidak menunjukkan restu perkahwinan itu adalah Mustapa Ali, Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pas.

Semasa dalam muktamar baru lalu ketika menyampaikan ucapan penggulung, beliau membayangkan akan ketidak-setujuannya dengan perkahwinan Pas - Umno dengan memberi sedikit ingatan dan nasihat penuh ikhlas.

Antara lain katanya parti yang berpecah biasanya akan lemah dan kalah pilihan raya.

Dipercayai beliau merujuk kepada perpecahan Pas sehingga tertubuh Amanah dan Pas pula bermusuh sampai sudah dengan Amanah, DAP dan PKR, katanya.

Katanya, kesan dari keberanian dan anti kerjasama yang beliau pamerkan itu, semalam beliau sudah menerima akibatnya dipenggal daripada menjadi Pengarah JPP dan tempatnya diganti dengan Ahmad Samsuri Mohkhar, yang sebelum ini adalah Setiausaha Politik Presiden Pas.

Sesiapa pun yang waras dalam Pas dan sayang kepada Pas, juga yang berada di luar terkejut dengan perubahan berkenaan. Pembuangan dan penggantian penjawat jawatan itu sangat tidak praktikal, katanya lagi.

"Bagi saya tindakan itu suatu tindakan berani yang terpaksa dibuat," katanya.

Bagi Sayuti, Mustapa adalah satu-satu veteran yang boleh dianggap sebagai "Bendahara tua" dalam Pas yang penuh pengalaman ditukar dengan "Juragan muda" yang pengalamannya masih cetek, darah baharu setampok pinang.

"Samsuri semua orang kenal tidak pernah terlibat dengan sebarang pilihan raya sebelum ini, namun mempunyai peranan dan "kerja besar" dalam Pas.

"Apakah dengan pengalaman yang kering itu dia mampu untuk mengendalikan jabatan yang dianggap nadi dalam Pas itu? Itulah kalau tidak ada mengadakan untuk apa beliau dilantik menduduki jabatan itu.

"Apakah Samsuri sedang mengatur untuk menguruskan pilihan raya nanti bersama rakan dalam Umno?" tanya Sayuti dalam tulisan itu.

TUAN IBRAHIM JUGA DIBUANG
Tuan Ibrahim Tuan Man kini jaga pelajar luar negara

Bagi Sayuti, bukan Mustafa sahaja boleh disifatkan dibuang dan tidak diingini.

"Kedudukan atau pun pembahagian porfolio kepada Tuan Ibrahim Tuan Man yang dihantar untuk menguruskan pelajar dan masyarakat Malaysia di luar negeri juga satu pembuangan.

"Tugasan itu adalah simbolik untuk difahamkan oleh Tuan Ibrahim, bahawa beliau tidak diperlukan dalam negeri," kata penulis yang banyak mengkaji tentang Pas itu.

Bagi beliau, seharusnya sebagai timbalan presiden Tuan Ibrahim diberi potfolio yang memerlukan dia berada hampir dengan presiden bagi memudahkan membuat tindakan dan keputusan.

"Tugas menguruskan pelajar dan masyarakat Malaysia di luar itu boleh diberikan kepada mana-mana naib presiden atau ahli jawatankuasa lain. Tetapi kenapa dihantar Tuan Ibrahim ke luar negeri?" katanya.

Demikian juga pertukaran Pesuruhjaya Pas Selangor kepada Sallehen Mukhyi juga satu tindakan ke belakang yang dibuat kerana motif tertentu, tambah beliau.

1 comment:

  1. Mso tugasnya melagakan org dgn teori politiknya.sebab itu mso sentiasa berubah-rubah sikapnya

    ReplyDelete