Monday, May 8, 2017

Haghu sungguh: Nak cerai tapi tidak mahu berpisah!

'Pas bertanding sekadar mahu pacak bendera'
07 Mei 2017 | ARIF ATAN
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad menyifatkan Pas meletakkan calon bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) hanya untuk menonjolkan parti semata-mata.

"Pas bertanding sekadar mahu pacak bendera. 80 kerusi kami (Pas) punya. Menang tak menang lain cerita. Itu tak penting bagi Pas.

"Kalau menang pun dia (Pas) nak jadi 'king maker'. Ini semua celaru," tegasnya ketika diminta mengulas situasi terkini Pas pasca muktamar dan hubungan parti itu dengan Pakatan Harapan menjelang PRU14.

Beliau berkata, pertembungan tiga penjuru kemungkinan besar berlaku ekoran kepincangan pendekatan pemimpin Pas itu.

"Kita syorkan rakyat sama ada hanya memilih sama ada Pakatan Harapan atau BN kerana Pas sekarang masuk bertanding hanya mahu jadi 'king maker' untuk BN bukan untuk Pakatan Harapan.

"(Pas) tak nak dengan DAP, Amanah dan Bersatu. Dengan Umno tidak pula Pas begitu," ujarnya ketika ditemui Malaysia Dateline di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) semalam.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Shah Alam itu berpendapat hasrat pihak tertentu masih mahu melihat Pas dapat bekerjasama dengan semua parti pembangkang menjelang PRU14 perlu dihentikan.

"Pendirian politik Pas masih lagi dalam keadaan agak bercelaru dari sudut pemikiran dan pendekatan politik.

"Nak putuskan hubungan dengan PKR tetapi nampak teragak-agak. Muktamar sudah lulus tapi rujuk kembali pada Majlis Syura.

"Apa yang jelas, kita tidak boleh mengharapkan Pas bersama dalam Pakatan Harapan. Kalau dia (Pas) mahu pun (kerjasama), dia hanya nak dengan PKR. Dengan DAP, Bersatu apa lagi Amanah dia tak mahu.

"Kalau (wujud) kerjasama (Pas dan Pakatan Harapan) pun, ia bukan satu kerjasama yang mantap dan jujur," tegasnya.

Sebelum itu beliau yang menulis buku 'Berani Berprinsip' berada di reruai ILHAM Books dalam sesi bertemu penulis. 

Mengulas lanjut, Khalid menyifatkan rakyat yang mahukan perubahan yang lebih baik selepas PRU14 tidak harus menaruh hasrat tersebut dengan terus memberi sokongan kepada Pas.

"Lihat saja sikap Pas tentang hubungan politiknya dengan PKR. Tapi boleh pula ada yang keluarkan kenyataan kononnya kalau putus hubungan pun di Selangor, Exco (Pas) tidak perlu letak jawatan.

"Jadi, bagaimana nak cerai tapi masih hidup bersama?" bidasnya sambil menganggap muktamar Pas baru-baru ini seolah-olah meletakkan status lebih rendah berbanding Majlis Syura.

"Keputusan dalam muktamar sepatutnya adalah tertinggi tetapi dalam usul, mereka sudah sebut keputusan muktamad di pihak Majlis Syura.

"Inilah sikap dan pendirian yang bercelaru. Nak putus (hubungan dengan PKR) tapi tak putus, nak cerai tapi tidak mahu berpisah," tegas Khalid lagi.

1 comment:

  1. Lebai lebai cap bulan ni, prinsip perjuangan makin celaghuuu dibuat oleh mr presideng mereka!!

    ReplyDelete