Wednesday, March 22, 2017

Sepatutnya Nazri jangan salahkan Polis, halalah kemarahan itu pada pihak lain.......

Tuesday, 21 March 2017
BARU NAZRI SEDAR TERUKNYA NEGARA INI....SEKARANG MARAHLAH PADA NAJIB ATAU ZAHID HAMID!!

Marah benar Nazri Aziz dengan keputusan pihak polis yang tidak semena-mena tidak membenarkan debat antara beliau dengan Tun Mahathir Mohamad diadakan pada 25 Mac ini.

Macam-macam perkataan yang keluar daripada mulutnya - kenapa polis tidak membenarkannya, sejak bila hak individu boleh dihalang oleh pihak lain, negara ini adalah negara demokrasi dan bukan negara polis, tindakan polis tidak betul, debat itu adalah berbentuk wacana, bukan perhimpunan aman, kenapa polis lebih memihak kepada NGO yang membuat laporan berbanding dirinya sebagai Ahli Parlimen Padang Rengas , saya sebagai menteri bukan mahu menghasut dan macam-macam lagi.

Sebagai pemimpin yang terkenal dengan sifat lantang dan berani, Nazri memang berhak meluahkan rasa marahnya ketika ini. Mungkin beliau memang mahu berdebat dengan Tun Mahathir, tetapi sekarang cubaannya untuk menunjukkan keberanian seperti dihalang oleh pihak polis.

Tetapi, sabarlah Chief...jangan marah kepada pihak polis. Pihak polis hanya menjalankan tugas dan jika mahu marah juga kerana tidak dibenarkan berdebat, orang yang sepatutnya Nazri marah ialah Najib Razak dan Ahmad Zahid Hamidi.

Meskipun sebelum ini Zahid Hamidi dan Nur Jazlan Mohamed dilaporkan sudah membenarkan debat itu untuk diadakan, pihak polis mungkin mendapat arahan lain daripada Menteri Dalam Negeri atau Timbalan Menteri Dalam Negeri itu agar permit polis tidak dikeluarkan.

Tidak mungkin pihak polis pandai-pandai sendiri berbuat demikian tanpa merujuk kepada sesiapa. Kemungkinan besar ada arahan atasan yang diterima mereka.

Alasan keselamatan, menganggangu ketenteraman awam dan tempoh memohon permit kurang daripada 10 hari barangkali hanyalah ciptaan semata-mata.

Jika pun itu antara alasan pihak polis tidak mengeluarkan permit, tetapi andainya Zahid selaku TPM dan Menteri Dalam Negeri benar-benar mahu debat itu diadakan, beliau tentu boleh campurtangan untuk mempermudahkannya.

Kalau perkara sekecil permit pun menteri tidak boleh selesaikan, macam mana mahu berjuang membantu rakyat dalam hal-hal lain yang lebih besar?

Kalau faktor keselamatan pula, keselamatan  apa yang dibimbangkan sangat oleh pihak polis terhadap debat itu sedangkan muatan dewan hanya 800 orang saja? 

Himpunan Bersih di Dataran Merdeka yang dihadiri ratusan ribu manusia lagi dapat dikawal oleh polis, apalah sangat dengan hanya 800 orang atau sekali ganda daripada jumlah itu?

Soalnya, adakah Zahid campurtangan dan menggunakan kuasanya sebagai Menteri Dalam Negeri atau beliau lebih mahu menjaga nama dan imej Najib semata-mata?

Jadi, yang patut Nazri belasah ialah rakannya sendiri iaitu Zahid Hamidi kerana jika beliau mahu campurtangan, pasti debat itu akan menjadi kenyataan. Apa yang berlaku sekarang seolah-olah Zahid tidak mahu menggunakan kuasanya.

Kalau Nazri berani lagi, beliau juga patut belasah Najib sendiri. Kepercayaan umum mengatakan Najib adalah paling tidak gembira dengan debat itu kerana isu-isu yang dibahaskan adalah secara langsung berkaitan dirinya.

Lebih membimbangkan Najib kerana lawan Nazri berdebat itu ialah Tun Mahathir. Beliau mungkin dapat mengagak Nazri hanya menjadi "makanan"  saja kepada Tun Mahathir dalam debat itu dan akhirnya jika ia diadakan pasti lebih memburukkan lagi namanya di mata rakyat.

Maka, untuk mengelakkan semua itu, ada kemungkinan Najib sendiri yang meminta Zahid agar jangan memberikan permit kepada debat itu. Zahid pula, disebabkan ingin menjaga hati bossnya dan mahu dilihat timbalan yang setia, lantas tanpa banyak soal bersetuju saja dengannya.

Kemungkinan lain ialah Najib juga boleh menyampaikan kebimbangannya itu kepada Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar dan arahan seterusnya disampaikan terus kepada Polis Perak.

Secara mudahnya, jika Nazri benar-benar ingin marah....marahlah kepada Najib atau Zahid Hamidi atau kedua-duanya sekali. Mereka inilah yang boleh menjadikan debat itu menjadi kenyataan atau sebaliknya.

Namun, dalam keadaan ini, apa yang Nazri seharusnya sedari ialah negara kita kini sedang diurus dengan teruk oleh Najib selaku Perdana Menteri. Semua perbincangan dan perbahasan mengenai 1MDB dan dana RM2,600 juta yang melibatkan Najib khususnya, sama sekali tidak akan diberikan "sijil halal" untuk diadakan.

Di Parlimen tidak boleh ditanyakan soalan, dalam mesyuarat UMNO dilarang dibincang, laporan audit diOSAkan, menteri yang bertanya akan dibuang, pegawai kerajaan yang menyiasat ditekan, dipindah atau dipencenkan, bahkan beberapa yang lain turut ditangkap dan dilokapkan. Semua tentang 1MDB seolah-olah "haram" untuk diperkatakan.

Oleh itu, jika Nazri tidak berlakon dan benar-benar marah sekarang ini, apa yang patut dilakukannya demi menjaga namanya  ialah dengan segera meletakkan jawatan daripada UMNO dan kerajaan. 

Tiada guna lagi beliau terus berada dalam sistem yang teruk, banyak yang tidak dipersetujuinya dan tidak lagi memihak kepadanya sebagai individu yang bebas dan merdeka. 

Tetapi, jika semua kemarahan Nazri itu hanyalah lakonan dan semata-mata untuk menunjukkan dirinya konon-konon masih jantan, barangkali dalam hatinya paling lega ketika ini kerana tidak perlu lagi membiarkan dirinya menjadi "makanan" kepada Tun Mahathir.

Jika tiada lakonan, pilihan bagi Nazri hanyalah meletakkan jawatan dan beliau akan dikenang sebagai betul-betul berani dalam perjuangannya. (ShahbudinHusin 21/03/2017).

Posted by Shahbudin Husin at 19:50 

1 comment: