Wednesday, January 11, 2017

Hasrat Jamal nak jadi Presiden FAS: Ini jawapan Ultras Selangor

Bola sepak Selangor hancur jika Jamal jadi presiden, kata penyokong

  | January 11, 2017
Keghairahan Jamal Yunos menawarkan diri menjadi presiden FAS dilihat hanya bermotifkan politik dan alat untuk menyerang menteri besar, kata Ultras Selangor.
PETALING JAYA: Datuk Seri Jamal Md Yunos tidak layak menerajui Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), kata Ultras Selangor.
Jurucakap kumpulan itu, Mohd Hasfarizan berkata mereka tidak bersetuju dan menolak tawaran Jamal untuk menjadi presiden FAS kerana tidak mempunyai pengetahuan luas dalam sukan itu.
“Jamal bukan kenal sangat dengan bola sepak Selangor, jarang pergi stadium. Saya tidak tahu apa kelebihan Jamal sehingga merasakkan dirinya layak menerajui FAS. Apa yang saya lihat, tindakan beliau menawarkan diri menjadi presiden FAS tidak lebih daripada ingin mencari publisiti murahan,” katanya kepada FMT, hari ini.
Katanya, antara individu paling layak memegang jawatan presiden FAS adalah Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah, sekali gus dapat menggelakkan persatuan itu dipergunakan bagi tujuan politik.
Sementara itu, bagi Ahmad Norman keghairahan Jamal untuk menjadi presiden FAS hanya bermotifkan politik dan alat menyerang Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Saya tengok tindakan Jamal lebih bermotifkan politik. Bukannya betul-betul nak jadi presiden tetapi mahu menyerang Azmin, sebab Azmin letak jawatan sebagai presiden,” katanya.
Norman tidak menolak, mutu bola sepak Selangor akan hancur sekiranya Jamal dilantik menjadi presiden FAS.
“Kalau Jamal berniat menaikkan imej bola sepak Selangor memang bagus tetapi kalau ia disebabkan kepentingan politik, bola sepak Selangor akan bertambah teruk. Semalam, saya tengok kebanyakan yang datang ke pejabat FAS semua orang Umno. Itu jelas menunjukkan ia ada kepentingan politik,” katanya.
Semalam, Jamal dengan muka bercat merah kuning, hadir ke pejabat FAS, sambil berikrar akan membawa pasukan bola sepak Selangor ke tahap lebih tinggi sekiranya beliau dilantik menjadi presiden.
Beliau juga memberi jaminan akan menyelesaikan segala tunggakan gaji pemain dan pegawai selepas 14 hari dilantik menjadi presiden.

No comments:

Post a Comment