Tuesday, October 18, 2016

RUU355: “Golongan agama, jangan perdagangkan agama!”

RUU355 Hadi: Antara jerat politik, keutamaan atau senjata makan tuan?
17 Oktober 2016 oleh Hafiz Zainuddin dan Fatih Hasan Nordin, foto Ahmad Yusufi
Pertikaian usul pindaan Rang Undang-Undang konon bagi memperkasakan Mahkamah Syariah (RUU355) yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah mencetuskan polemik dan perdebatan hangat kelompok rakyat negara ini.

Perdebatan hangat ini sedikit sebanyak menenggelamkan banyak isu mendasar melibatkan ketirisan wang negara akibat skandal mega 1MDB, derma RM4,2 bilion, individu MO1, isu persempadanan semula SPR, isu perkauman samseng Baju Merah UMNO selain isu balak yang dilesenkan kerajaan PAS Kelantan.

Perdebatan RUU355 yang dibawa oleh Presiden PAS itu juga semakin panas apabila ada sebilangan kelompok kecil agamawan seolah-olah meruntuhkan perpaduan rakyat negara ini khususnya yang beragama Islam apabila mereka cenderung memandang golongan yang menentang RUU355 adalah anti-Islam, malah dikafirkan.

Bagi merungkai lanjut polemik hudud ini, wartawan Hafiz Zainuddin dan Fatih Hasan Nordin ke Kuala Krai Kelantan bagi menemubual Ustaz Che Ibrahim Mohamed yang merupakan bekas Setiausaha Enakmen Jenayah Syariah Kelantan yang kini Naib Pengerusi Amanah Kelantan. Foto oleh Ahmad Yusufi.

“Golongan agama jangan memperdagangkan agama”
“Isu takfiri bukan benda baru. Isu ni benda lama. Dulu isu mengkafirkan orang yang mengamalkan politik suku agama suku (Amanat Haji Hadi). Sekarang ni timbul pula isu sebegini (melibatkan) masalah undang-undang sedangkan rakyat tak ada kuasa luluskan undang-undang,” kata Ustaz Ibrahim

Salah faham meluas yang timbul dengan mengatakan menolak RUU persendirian Ahli Parlimen Marang itu sebagai menolak hukum Allah adalah tidak benar sama sekali malah tohmahan itu hanya akan membenihkan fahaman pelampau agama di Malaysia.

Kesannya dapat dilihat apabila ada pihak menganggap mana-mana rakyat Malaysia yang mempersoalkan pelaksanaannya di negara sebagai musuh Islam sehingga ada yang sanggup mengkafirkan individu Islam lain yang tidak bersetuju mengenainya.

Tanggapan sedemikian, kata bekas Setiausaha Enakmen Jenayah Syariah Negeri Kelantan Ustaz Che Ibrahim, adalah satu tanggapan yang salah dan amat tidak wajar.

“Isu takfiri bukan benda baru. Isu ni benda lama. Dulu isu mengkafirkan orang yang mengamalkan politik suku agama suku (Amanat Haji Hadi). Sekarang ni timbul pula isu sebegini (melibatkan) masalah undang-undang sedangkan rakyat tak ada kuasa luluskan undang-undang.

“Sebab kita kena faham, hukum syarak adalah satu perkara, RUU 355 ini pula adalah suatu perkara lain.

“Kita sekarang ni bukan membincangkan mempertikaikan hukum syarak. Kita memperkatakan tentang bagaimana hukum ini hendak dilaksanakan,” katanya.

Beliau menegaskan sehubungan itu, golongan agama tidak boleh sama sekali memperdagangkan agama semata-mata demi kepentingan politik kerana ia hanya akan mengeruhkan lagi kekeliruan di kalangan rakyat.

Perkara ini dapat dilihat jelas apabila polemik melibatkan usul Presiden Pas itu seolah-olah mahu memaksa rakyat supaya menerimanya.

“Sekarang ni seolah-olah nak paksa rakyat menerima undang-undang ini sedangkan rakyat tidak ada kuasa pun. Rakyat bukan penggubal undang-undang. Yang akan melulus atau menolak ialah Parlimen atau DUN,” ujarnya.

Katanya lagi, dari sudut hukum, seseorang umat Islam tidak boleh menolak ketetapan yang digariskan syariah namun penolakan terhadap pelaksanaan undang-undang syariah atas sebab tertentu adalah perkara yang jauh berbeza.

“Berapa ramai orang Islam yang menolak untuk lakukan Haji sedangkan dia ada kemampuan dan wajib? Dia bukan menolak kewajipan Haji tapi dia ada alasan tertentu mengapa dia tidak tunaikan ibadat haji.

“Begitu juga isu pelaksanaan undang-undang. Bukan soal menolak syariah tetapi kerajaan yang memerintah itu mungkin mempunyai alasan-alasan tertentu mengapa ianya tidak menjadi satu keutamaan,” jelas beliau.

RUU355 mainan politik
“Bagi saya isu ini betul-betul permainan politik. Kalaulah betul sebagaimana yang disebut oleh Mufti Wilayah Persekutuan bahawa RUU355 wajib disokong, maka sepatutnya Majlis Fatwa Kebangsaan bawa fatwa ini kepada kerajaan. Mendesak kerajaan meminda akta ini.”

Jangan lupa, Pakatan Rakyat berpecah akibat gagal menguruskan pertikaian melibatkan ‘hudud’. Perpecahan itu merupakan rahmat besar kepada UMNO dan sebahagian pemimpin PAS bergelar ulama yang bersekongkol dengan pemimpin-pemimpin UMNO demi kepentingan politik dan perkauman sempit mereka.

Usul RUU 355 oleh PAS jelas telah mendapat restu UMNO apabila pindaan tersebut dipercepatkan untuk bacaan kali pertama dalam Dewan Rakyat pada bulan Mei lalu mendahului usul-usul lain.

Permulaan ini sudah memberi gambaran awal tentang politik UMNO-PAS untuk menjauhkan lagi kebersamaan parti-parti pembangkang negara ini yang telah lama berjuang menentang salah laku, rasuah dan salah guna kuasa yang berleluasa.

Naib Pengerusi Amanah Kelantan itu berkata, RUU Hadi yang menimbulkan kontroversi dan pertikaian meluas dalam sistem perundangan negara ini telah dipergunakan sebagai mainan politik.

“Bagi saya isu ini betul-betul permainan politik. Kalaulah betul sebagaimana yang disebut oleh Mufti Wilayah Persekutuan bahawa RUU355 wajib disokong, maka sepatutnya Majlis Fatwa Kebangsaan bawa fatwa ini kepada kerajaan. Mendesak kerajaan meminda akta ini.

“Bukan serah kepada pihak pembangkang sebab ini kalau tahap wajib, bukan serah kepada parti politik sebab tugas mufti dan majlis fatwa ialah menasihat kerajaan bukan nasihat parti politik.

“Jadi, sekiranya mufti berpandangan Akta 355 ini sudah berada tahap wajib, maka sepatutnya mufti beri pandangan kepada pihak kerajaan.

“Pernah dibuat suatu keputusan rasmi dalam Majlis Fatwa Kebangsaan? Tak pernah. Ini jelas menampakkan bahawa isu ini telah dipolitikkan, bukan isu agama,” ujarnya.

Bukan pertikaian hukam-hakam agama tapi soal perundangan negara
“Sekarang ini bukan soal nak mengamalkan hak orang Islam untuk mengamalkan peraturan agama dia. Sekarang ni ialah soal undang-undang di mana ia bukan hak individu untuk (melaksanakannya) walaupun ia dikaitkan dengan Islam.”

Ustaz Che Ibrahim berkata lagi, rakyat khususnya umat Islam negara ini perlu jelas bahawa polemik ‘hudud’ melibatkan RUU355 ini bukanlah pertikaian di peringkat hukum-hakam agama tetapi adalah perbahasan pelaksanaannya dalam konteks perundangan negara.

Beliau menempelak pihak yang mendakwa kritikan terhadap cadangan RUU tersebut sebagaimengganggu hak orang Islam mengamalkan ajaran agama.

“Sekarang ini bukan soal nak mengamalkan hak orang Islam untuk mengamalkan peraturan agama dia. Sekarang ni ialah soal undang-undang di mana ia bukan hak individu untuk (melaksanakannya) walaupun ia dikaitkan dengan Islam.

“Undang-undang adalah hak negara, kuasa negara. Ini bukan soal ibadat macam sembahyang, puasa atau haji. Kamu nak sembahyang ke haji ke puasa ke tak ada siapa pun boleh menghalang. Itu hak kamu.

“Tapi bila kita sebut perlaksanaan undang-undang ini bukan hak rakyat biasa ini hak kerajaan,” katanya meminta rakyat negara ini tidak hilang fokus terhadap isu sebenar polemik ‘hudud’.

Pertindihan kuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil, apa yang mahu diperkasakan?

Selain soal hukum dan politik, Ustaz Che Ibrahim turut membangkitkan kelemahan isu-isu teknikal RUU355 dan pertindihan yang wujud apabila Mahkamah Syariah diberi kuasa menjatuhkan hukuman ke atas kesalahan jenayah kecuali hukuman mati.

Menurut Ustaz Che Ibrahim, usul pindaan RUU355 bersifat tidak jelas apabila diberi kuasa memberi hukuman ke atas kesalahan jenayah.

“Pertama sekali  kita kena jelas apa sebenarnya yang nak diperkasakan di Mahkamah Syariah. Sebab ada beberapa aspek yang mesti perkasakan,” katanya.

Pertamanya kata beliau adalah berkaitan status Mahkamah Syariah yang setaraf mahkamah negeri dan bukannya Mahkamah Persekutuan.

Ini bermakna, ia hanya boleh laksanakan membicarakan kes-kes melibatkan bidang kuasa negeri sahaja dan berbeza dengan Mahkamah Sivil.

“Jadi sekarang ni soalnya apa yang nak diperkasakan? Adakah nak perkasakan sudut bidang kuasa Mahkamah Syariah?” soalnya.

Ia bermakna, Mahkamah Syariah hanya mempunyai kuasa di sudut kesalahan-kesalahan yang berkaitan dengan kekeluargaan Islam seperti isu perkahwinan, isu hak penjagaan anak, nafkah dan seumpamanya serta kesalahan tertentu melibatkan moral seperti perbuatan tak sopan, khalwat dan sebagainya.

“Dengan kata lain semua kesalahan yang dibicarakan dalam mahkamah syariah ini tidak dianggap suatu kesalahan jenayah. Ia hanya kesalahan pelanggaran kepada rukun-rukun agama.

“Adapun semua kesalahan yang berkaitan jenayah sama ada ia berkaitan rasuah, salah guna kuasa, mencuri atau seumpamanya, ia masih lagi dibicarakan di mahkamah sivil. Ini satu. Maksudnya apa yang nak diperkasakan RUU ini pun sudah tidak jelas,” kata beliau.

Ketempangan RUU 355 Hadi


ustazcheibrahimUstaz Che Ibrahim menekankan, RUU 355 PAS ini hanya memberi penekanan soal hukuman semata-mata sedangkan kuasa menjatuhi hukuman dan bidang kuasa jenayah ini perlulah seimbang.

“Jadi RUU355 ini hanya memfokuskan kepada hukuman sahaja bukan kepada bidang kuasa jenayah.

“Berbeza dengan mahkamah sivil, walaupun Mahkamah Sesyen boleh menjatuhkan semua hukuman selain hukuman mati, tapi dalam masa yang sama mahkamah itu boleh membicarakan semua kesalahan kecuali kesalahan-kesalahan di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah,” jelasnya.

Berdasarkan sisi teknikalnya sahaja jelas beliau, wujud kelompongan yang besar dalam usul RUU355 tersebut yang kemudiannya dipolitikkan untuk kepentingan pihak tertentu.

“Sepatutnya selesaikan bidang kuasa jenayah bukan hukuman. Setelah selesai bidang kuasa jenayah. Barulah hukuman. Sebab apa guna kita beri hukuman kalau dia tidak ada kuasa untuk membicarakan kesalahan,” jelas Ustaz Che Ibrahim.

Beliau turut mempersoalkan kesalahan apa dibicarakan bagi membolehkan RUU tersebut terpakai.

“Okay sekarang ini kita lihat RUU 355 seolah-olah mahu memberi semua kuasa hukuman kepada Mahkamah Syariah kecuali hukuman mati.

“Jadi sekarang ni, apa kesalahan yang nak kita bicarakan bagi membolehkan hukuman yang dia (RUU355) mintak ni untuk dikenakan? Katalah, selain hukuman mati, bererti Mahkamah Syariah diberi kuasa hukuman penjara, tak disebut pun berapa tempoh, mungkin 15 tahun, mungkin 20 tahun, mungkin 30 tahun, mungkin sepanjang hayat.

“(RUU355) hanya kata hukuman mengikut undang-undang syariah selain hukuman mati. Jadi bererti hukuman penjara seumur hidup juga boleh dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah? Soalnya, bila pula Mahkamah Syariah diberi kuasa (jatuhkan) hukuman penjara seumur hidup? Apa pula kesalahan yang dibuat untuk hukuman penjara seumur hidup tu?” soalnya.

Tambahan pula kata beliau, kesalahan yang dibicarakan di Mahkamah Syariah hanya sekitar kesalahan-kesalahan kekeluargaan Islam.

Perkara kedua jelas Ustaz Che Ibrahim ialah berhubung kuasa mendenda oleh Mahkamah Syariah.

“Sekarang ini kuasa denda di Mahkamah Syariah maksimum RM5,000. Katakanlah pindaan ini memberi satu kuasa tanpa had. Sebab (RUU355) tak disebut berapa denda yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah. Yang dia hanya sebut ialah hukuman mengikut undang-undang syariah termasuklah denda. Tapi berapa denda dia? Mungkin sejuta ringgit, dua juta? (apa hadnya?)” soalnya lagi.

Benarkah RUU355 akan perkasakan Mahkamah Syariah di Malaysia?

Melalui perbincangan ringkas kami bersama Ustaz Che Ibrahim di Kuala Krai kali ini, kesimpulan yang boleh dibuat ialah RUU 355 tidak mampu memartabatkan Mahkamah Syariah di negara ini.

Ia kerana pindaan tersebut terlalu ‘obses’ kepada aspek hukuman namun gagal menyelesaikan banyak aspek pentadbiran, teknikal dan apa yang ketara, terlalu banyak kes melibatkan pelaksanaan undang-undang keluarga Islam yang tidak selesai dan bermasalah.

Bagaimanapun RUU 355 ini mampu menjadi senjata politik terbaik bagi UMNO dan PAS untuk memecahkan gabungan pembangkang negara ini yang giat memberi fokus kepada keutamaan tadbir urus yang baik, membanteras rasuah, mengurangkan kemiskinan dan keadilan sosial.

Polemik RUU 355 dan hudud PAS telah banyak memesongkan fokus terhadap isu yang lebih realistik dan dekat dengan kehidupan rakyat yang semakin terbeban dengan peningkatan kos sara hidup dan kelembapan ekonomi negara.

Selain itu, ia turut akan memberi impak terhadap Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak keadilan yang sama-rata dan adil terhadap warganya. 

1 comment: