Friday, October 14, 2016

‘Najib terdesak untuk lemahkan semangat saya’

MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI
13 OKTOBER 2016
Tun Dr Mahathir Mohamad

SHAH ALAM - Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kini terdesak untuk melemahkan semangatnya.

Mahathir berkata, ini kerana bukan sahaja pengawal pengiring motosikal polis untuknya ditarik balik tetapi pegawai dan tukang masak beliau pun hendak ditukar oleh kerajaan.

"Semua kenalan saya diganggu dengan menghantar jabatan hasil dalam negeri untuk ugut terutama mereka yang berniaga. Jikalau semua cukai sudah dibayar pun cukai tambahan dikenakan," dakwanya dalam tulisan terbaharu di blognya semalam.

Beliau mendakwa perkara ini berlaku kerana mereka memilih untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

"Semasa menerima borang untuk jadi ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia, ada yang menyatakan mereka menerima ugutan daripada parti Umno dan Kerajaan Najib.

"Bermacam jenis ugutan dibuat termasuk tidak akan memberi BR1M, disingkir dari Umno, atau lucut jawatan dalam Kerajaan dan agensi-agensinya, tidak diberi kontrak, biasiswa tidak akan diberi dan akan ditarik balik dan sebagainya, bank akan tuntut hutang lebih awal dan akan tolak permohonan," katanya.

Namun ujarnya, kesemua ahli Bersatu yang diberi tekanan tidak pernah mengaku kalah dan akan terus menyokong perjuangan yang dibawa beliau.

“Mereka menyatakan bahawa tekanan terhadap mereka tidak akan berjaya menghalang mereka dari menyertai Bersatu. Dan mereka berusaha mendapat bumiputera lain termasuk ahli Umno supaya menyertai Bersatu," katanya.

Beliau turut mendakwa kakitangan dalam Proton ini juga disekat untuk bercakap dengan beliau dan peniaga kenalannya juga tidak dibenar mengadakan sebarang perniagaan dengan Proton.

No comments:

Post a Comment