Thursday, October 20, 2016

MB Negeri Sembilan Bakal di pecat?

Thursday, October 20, 2016
Menteri Besar Negeri Sembilan Bakal Di Pecat ? 
Oleh Ahli UMNO Negeri Sembilan

Saya ahli UMNO dari Negeri Sembilan dan hingga sekarang masih taat setia kepada UMNO.  Tetapi taat setia tidak bermakna taat setia kepada pemimpin terutama jika pemimpin menjadi masaalah dan dituduh sebagai seorang “pencuri”.  

Kami dengar MB kami akan dipecat.  Sepatutnya dipecat bersama-sama MB Terengganu, Pahang dan Perak.  Tetapi setelah MB Terengganu dipecat dan timbul masalah, niat memecat yang lain terpaksa ditangguh.

Bila saya menyoal ketua-ketua UMNO, mereka sendiri tidak ada jawapan tentang 1MDB.  Sebaliknya rakyat lebih tahu tentang 1MDB dan benar-benar tahu tentang 1MDB.  Kami ahli-ahli UMNO diberitahu jangan sesekali menyoal tentang 1MDB.  Kalau kami tidak diberitahu perkara sebenar, bagaimana kami hendak menjawab soalan-soalan yg dibangkitkan oleh rakyat?  

Pemimpin dan kerajaan jangan ingat kerana kami diarah berdiam diri, ini bermakna soal 1MDB akan dilupai rakyat.  Kami ahli-ahli biasa UMNO yang berdepan rakyat dan menjawab semua soalan yg dikemukakan oleh rakyat.  Pemimpin di Kuala Lumpur boleh duduk di dalam bilik berhawa dingin dan hidup selesa.  

Yang ada masaalah ialah rakyat.  Mereka terpaksa menghadapi harga barang-barang keperluan yang meningkat semakin tinggi dan soal GST yang Ahmad Mazlan beritahu akan menurunkan harga.  Sekarang harga minyak makan pula naik.  

Kami dibawah berharap ketua-ketua kami, pak-pak Menteri akan turun ke padang berjumpa kami kerana kami ada banyak perkara yang kami mahukan jawapan.  Kami mahu tahu apa jadi kepada janji-janji dalam menifesto BN.  Mengapa kangkung pun naik harga?  Mengapa kami diminta tukar cara hidup kami tetapi pak-pak menteri tidak tunjuk tanda-tanda mereka sedia berkorban untuk negara.  Mereka masih bercuti di luar negara tetapi kami diminta berkorban padahal ada yang membeli bag tangan harga beratus ribu ringgit dan ada yg masih terbang ke sana sini seperti negara tidak ada masaalah padahal hutang negara, saya baca begitu tinggi.  

Hutang rumah tangga juga tinggi.  Bukankah lebih baik kalau pak menteri yg terlibat dengan ekonomi, bersidang dan cari jalan untuk keluar dari ekonomi negara yg begitu teruk.  Rakyat tidak percaya menteri kewangan kata ini masaalah luaran.  Kita masih ada penumbuhan.  Apa guna penumbuhan kalau rayaat tidak dapat faedah apa-apa?  

Yang penting ialah rakyat dan apabila rakyat gelisah, ini bermakna mereka tidak berpuashati dengan kerajaan dan dasar-dasarnya.  Rayaat tak mampu membeli rumah kerana harga terlalu tinggi.  

PRIMA ditubuhkan untuk membina rumah mampu rakyat dan tiap-tiap tahun lebih satu billion diperuntukan untuk tujuan ini tetapi ada berita yang mengatakan peruntukan diumumkan oleh menteri kewangan tapi tidak diberi.  ltulah sebabnya sehingga sekarang, belum ada sebuah rumah yang siap dibina oleh PRIMA.  Yg dijual adalah rumah-rumah dibeli dari pasaran.  

Sekarang anak-anak muda sukar ke universiti kerana peruntukan dipotong.  Hospital-hospital tidak ada ubat, peruntukan dipotong.  Harga ubat naik kerana kroni-kroni UMNO diberi agensi untuk menjual ubat.  Ubat yang berharga RM10 naik sehingga RM45.  lnikah kerajaan yang rakyat didahulukan?  

Banyak lagi masaalah yang rakyat bangkitkan yang kami dibawah tidak boleh menjawab.  Mereka ingin tahu mengapa tiba-tiba peguam negara ditamatkan perkhidmataannya.  Adakah kerana betul beliau sedia mendakwa PM?  Mengapa pegawai-pegawai lain juga ditamatkan perkhidmatan mereka?  Ada yang ditukar.

Rakyat ingin tahu kalau PM tidak salah, mengapa tindakan ini dibuat?  Kami tidak tahu bagaimana hendak menjawab.  Kita mahu jawab seperti Rahman Dahlan yang mengaku MO1 ialah PM Najib.  Sekarang rakyat tanya Rahman, sah MO1 ialah Najib, mengapa pak-pak menteri tidak menyoal PM tentang penglibatannya dalam 1MDB sehingga menjadi scandal kewangan terbesar di dunia?  

Suratkhabar-suratkhabar dunia dan televisyen-televisyen dunia membawa berita ini tetapi di Malaysia, berita ini tidak disebut.  Di parlimen, wakil-wakil rakyat BN tidak menyoal tentang 1MDB dan apabila pembangkang menyoal, perkara ini diletak dibawah supaya tidak ada masa untuk dijawab.  Kali ini ada alasan perkara ini sub-judis.  

Kita lihat speaker, dia berpihak kepada kerajaan, padahal demokrasi di negara maju, speaker mesti letak jawatan dari jadi ahli parti dan mesti bebas.  Parlimen bukan dibawah kerajaan.  Terlalu banyak perkara yang kami tidak dapat menjawab kepada rakyat.

Mereka sekarang marah dan tidak percaya kepada pemimpin dan kerajaan dan sukar untuk menjawab hujah-hujah mereka.  Kami tidak ada jawapan.   Peguam negara kata PM tidak bersalah tetapi di America, Switzerland dan Singapore, cerita berlainan pula.  1MDB menjadi cerita besar dan tindakan undang-undang diteruskan.  Takkanlah negara-negara ini berniat jahat kepada kita.  

Bagaimana duit RM2.6billion boleh masuk ke dalam akaun peribadi PM?  Belum pernah PM-PM sebelum ini ada duit sebegitu banyak.  Rakyat susah hendak percaya dengan penjelasan yang selalu bertukar-tukar.  Sebagai orang lslam, kita diajar untuk berterus-terang dan berdosa besar jika menipu.  Allah tahu semua.

Ahli UMNO Negeri Sembilan

Posted by Syed Akbar Ali at 7:00:00 PM

No comments:

Post a Comment