Wednesday, October 12, 2016

Macam mana ni.......soal belon lebih diutamakan?

Negara luar siasat 1MDB, Peguam Negara sibuk rayu kes ‘belon kuning’
12 Oktober 2016
KUALA LUMPUR, 12 OKT: Mengapa Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali bersungguh-sungguh mahu memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah membebaskan Bilqis Hijas dalam kes ‘belon kuning’, tetapi bersikap acuh tak acuh dalam menangani skandal terbesar negara, 1MDB?

Persoalan itu dilontarkan oleh Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, yang menyatakan bahawa Apandi seharusnya memberi sepenuh fokus kepada penyiasatan skandal yang ‘menobatkan’ Malaysia sebagai kleptokrasi global itu

“Apa sebenarnya yang sedang berlaku di Malaysia?

“Peguam Negara sibuk membuat rayuan terhadap kes melibatkan belon kuning, tetapi langsung tidak peduli tentang perasaan malu yang dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia apabila negara digelar sebagai kleptokrasi global,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Ahli Parlimen Gelang Patah itu, imej Malaysia semakin tercemar beberapa hari ini berikutan negara-negara lain sedang menyiasat dan membuat dakwaan terhadap pihak yang mempunyai kaitan dengan skandal syarikat milik Kementerian Kewangan itu.

Media melaporkan pihak berkuasa Singapura sedang mendakwa dua bekas pegawai kanan Bank Limited Singapore atas kesalahan pemalsuan dokumen dan kegagalan mendedahkan transaksi melibatkan 1MDB sehingga membawa kepada penutupan cawangan bank swasta Switzerland.

Pada masa sama, Switzerland sekali lagi meminta agar kerajaan Malaysia memberi kerjasama dalam siasatannya terhadap 1MDB selepas Jabatan Peguam Negara Swiss menemui bukti baru melibatkan bekas anak syarikatnya, SRC International baru-baru ini.

Siasatan itu mendapati dana dalam amaun yang sangat besar telah digelapkan dari SRC International, dan muslihat secara skim ‘Ponzi’, atau skim cepat kaya, telah dilakukan untuk menutup penggelapan wang terbabit.

Bagaimanapun, Peguam Negara Switzerland Michael Lauber mendakwa kerjasama yang diminta pihaknya sejak Januari itu ‘masih belum selesai’ sehingga terpaksa mengulangi permintaan ‘bantuan undang-undang bersama daripada pihak berkuasa Malaysia’ pada Rabu lalu.

“Dalam keadaan begini, bolehkah Peguam Negara dipercayai untuk melindungi dan menegakkan integriti, reputasi dan maruah Malaysia?” soal Kit Siang. – Roketkini.com

No comments:

Post a Comment