Monday, October 17, 2016

Inilah dia Melayu!

PENGUNDI MELAYU SUKAR BERUBAH

Kami ditanya oleh banyak pihak mengenai trend dan pola pengundi Melayu. Adakah pengundi Melayu akan berganjak dari menyokong Umno/BN selepas isu pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin, penububan BERSATU dan pelbagai skandal besar negara kepada mengundi pembangkang, atau bagaimana?

Kami menjawab berdasarkan dapatan kajian. Sepanjang kami terlibat dalam kajian lapangan, pola pengundi Melayu cukup unik. Orang Melayu sukar membuat perubahan politik. Antara rumusan pola pengundi Melayu adalah seperti berikut:

1) Pilihan politik atas asas parti. Biasanya turun temurun. Jika ada anak ada cucu yang berlawanan arus, mereka memilih untuk berdiam diri. Faktor pilihan atas calon dan isu terlalu minima.

2) Berfikiran selapis. Mudah. Tidak suka memikirkan perkara besar, rumit dan berbelit-belit. Isu dengan angka besar milion dan bilion, sukar dihadam oleh pengundi Melayu.

3) Lokaliti yang berada di pedalaman, jauh dari sumber maklumat primer menambah kelebihan kepada Umno/BN. Sebab itu majoriti kerusi Parlimen pedalaman milik Umno/BN.

4) Lebih mempercayai berita yang disampaikan oleh parti pemerintah. Amat bergantung kepada media perdana dalam membentuk sikap dan pendirian politik. TV3 dan Utusan sandaran utama yang dominan.

5) Tidak terkesan dengan gelombang nasional. Jika ada sifatnya sementara kerana faktor emosi, marah. Maka, sabotaj pada Umno dan BN berlaku. Namun sifatnya lokal, tidak menyeluruh, sementara. Masa yang panjang akan meredakan ketegangan, dan akhirnya sokongan kembali kepada yang asal.

6) Mudah terjebak dengan perkauman terutama Cina dan India. Cina dilihat dalam perspektif mengancam ketuanan Melayu, merebut kuasa. Melayu akan merempat di bumi sendiri. India pula minoriti, lagak samseng dan merupakan kaum pendatang. Elemen rasis ini mudah bagi Umno/BN menuai hasil.

7) Selain kaum, isu dan sentimen agama juga menjadi 'pillar' undi sukar berubah. Pada majoriti pengundi Melayu, walaupun UMNO dilihat nasionalis Melayu yang kurang Islamik, namun ia lebih dijamin baik berbanding pembangkang yang lebih dilihat gagal menjaga Islam dan seringkali memanipulasi agama demi kepentingan politik.

8) Kelompok warga emas, kaum Ibu antara penyumbang tetap kepada Umno/Bn.

Berdasarkan pola utama di atas, Tim Ilham Centre menjangkakan dengan segala insiden yang berlaku mutakhir ini ia tidak akan berjaya memangkin perubahan undi kepada pembangkang secara total sekiranya pembangkang tidak memanfaatkan segenap ruang yang ada. Perubahan Melayu ibarat 'api dalam sekam', yang perlu digerakkan secara hikmah dan bijaksana.

Tiada apa yang boleh diharapkan pada pengundi Melayu sekiranya segala strategi ia tidak digarap dengan baik. Sukar berubah. Malas berfikir. Selesa dengan ada. Retorik ketuanan bangsa. Cina ancaman utama. Ini formula untuk Umno/BN terus berkuasa. Atas doktrinisasi inilah UMNO-BN kekal memerintah.

Ancaman sebenar sekarang kepada penguasa ialah pengundi muda Melayu. Pengundi ini terdedah dengan maklumat pantas melalui media sosial dan portal
Internet.

Maka, tidak dapat tidak rebutan harus berlaku di segmen ini. Segmen ini sangat rapuh (fragile). Jumlah besar dari kelompok ini menjadi kuasa penentu dalam PRU akan datang.

Sungguh, kebijakan politik sahaja yang bisa menafikan semua teori yang membelenggu dogma Melayu sukar berubah! Atas kertas, hanya 2-5% anjakan 'peralihan' undi diperlukan untuk menjadikan UMNO-BN sejarah dalam politik Malaysia pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Hisommudin Bakar
ILHAM Centre

No comments:

Post a Comment