Saturday, August 20, 2016

Adakah RUU 355 itu hudud?

19 Ogos 2016 | NIK FATMA AMIRAH NIK MUHAMAD
Prof Madya Dr Shamrahayu sedang melontarkan pandangan pada wacana RUU 355 anjuran Ikram

AKTA 355 adalah suatu akta untuk memberi bidang kuasa jenayah kepada mahkamah syariah yang ditubuhkan di bawah mana-mana Undang-undang Negeri bagi maksud membicarakan kesalahan jenayah di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah.

Akta ini mula-mula dikanunkan pada tahun 1965 dan waktu itu ia dikenali sebagai Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965. Hukuman yang tersenarai dalam akta ini adalah denda RM1000 dan penjara 6 bulan.

Pindaan yang pertama dilaksanakan pada tahun 1984 [yang dinamakan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 1984], untuk meluaskan lagi kuasa menghukum Mahkamah Syariah kepada 3 tahun penjara, RM5000 denda dan 6 kali sebatan.

Selepas itu, akta ini dipinda lagi pada tahun 1989 untuk diluaskan ke Sabah dan Sarawak [dinamakan sebagai Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah (Pindaan dan Perluasan) 1989]. Pindaan terakhir berlaku pada tahun 1997, tetapi pada tafsiran sahaja, dan ia digelar Akta Tafsiran (Pindaan) 1997.

Kesemua pindaan bermula tahun 1984, 1989 dan 1997 diusulkan oleh pihak kerajaan. Manakala, buat kali pertama pindaan pada tahun 2016 baru-baru ini dibawa secara usul persendirian oleh Ahli Parlimen Marang yang bertujuan untuk meluaskan lagi bidang kuasa hukuman yang dibenarkan oleh Mahkamah Syariah, kecuali hukuman mati.

ANALOGI PERMIT MEMBINA LEBUH RAYA 5 LORONG

Usul yang dibawa oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang menimbulkan banyak persoalan. Oleh itu, Biro Penyelidikan Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) mengambil satu inisiatif untuk memberi kefahaman kepada masyarakat dengan menganjurkan satu wacana yang bertajuk "RUU 355: Wajarkah Bukan Islam Bimbang?" bertempat di Crystall Ballroom, The Mines 2, Seri Kembangan.

Wacana ini membariskan lima panelis iaitu Prof Madya Dr Shamrahayu (Felo IKIM), Prof Madya Dr Zulfakar Ramlee (Ikram), Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa (Amanah), Howard Lee (DAP), dan Dr Zuhdi Marzuki (Pas).

Saya bersetuju dengan analogi yang diutarakan oleh Prof. Madya Dr Zulfakar Ramlee, pensyarah undang-undang UIAM semasa wacana tersebut. Beliau berpandangan seperti berikut:

"Pindaan Akta 355 ini seumpama permit atau lesen untuk membina lebuh raya lima lorong (lima lorong yang memperkasakan lima maqasid syariah)."

Apabila menyebut cadangan pembinaan lebuh raya, terdapat dua pandangan. Pandangan pertama daripada golongan yang tidak bersetuju untuk membina lebuhraya ini kerana tanahnya akan diambil dan yang pastinya akan ada tol yang membebankan. Pandangan kedua pula datang daripada golongan yang bersetuju dengan pembinaan lebuh raya kerana ia akan menjadikan perjalanan lebih laju dan selesa.

Beginilah analoginya untuk pindaan Akta 355 ini. Ada yang tidak bersetuju kerana belum terbukti kesempurnaan proses perancangan dan beberapa isu teknikal untuk pindaan ini.

Proses ke arah pembinaan lebuh raya memerlukan langkah atau perancangan yang sangat rapi seperti rundingan dengan pemilik tanah, bayaran pampasan yang sewajarnya kepada pemilik tanah, menyediakan pusat rehat dan rawat yang diuruskan dengan baik. Ia bukan sekadar membina tol dan mendenda mereka yang melanggar peraturan.

Begitu juga untuk pindaan RUU 355 ini. Ia memerlukan perancangan yang rapi, rundingan dengan pelbagai pihak dan perlaksanaan dalam suasana yang adil dan jauh daripada fitnah.

Prof. Madya Dr Shamrahayu pula menyatakan, jangan disebabkan ketidaksempurnaan melaksanakan hukum Islam, Islam difitnah.

SIAPA YANG PATUT BIMBANG?

Sebenarnya yang patut bimbang adalah orang Islam, bukannya bukan Islam. Apabila pindaan ini diluluskan dalam keadaan persediaan yang tidak rapi dan sempurna, ia akan membuka jalan kepada keburukan yang lebih besar. Nama baik Islam akan tercalar dek kerana sistem keadilan syariah yang tidak teratur dan tidak adil.

Seterusnya wujud persepsi dari segi ketidakmampuan sistem undang-undang negeri untuk menjalankan hukuman tersebut, terutamanya pada bahagian pendakwaan dan perlaksanaan hukuman, yang boleh membawa kepada kemudaratan yang lebih besar.

Di samping itu, ketidaksempurnaan perlaksanaan hukum Islam juga akan mencemari nama baik negara Islam itu sendiri. Sebagai contoh, perlaksanaan syariah di Pakistan telah menyebabkan mangsa rogol dibicara di bawah hukuman zina sehingga mangsa rogol juga dimasukkan ke dalam penjara.

Di Sudan, kes terkenal Mahmud Mohd Taha (yang dibunuh oleh kerajaan atas sebab pandangan politik beliau yang tidak bersetuju dengan perlaksanaan syariah) menggambarkan bukan sahaja kurang kesempurnaan dalam perlaksanaan hukum Islam, tetapi salah guna institusi agama untuk menindas orang yang mereka tidak suka atau menyingkirkan individu tertentu kerana kepentingan politik.

Jadi, jelas di sini bahawa ketidaksempurnaan pelaksanaan hukum Islam akan memberi kesan yang besar. Yang lebih membimbangkan adalah dikhuatiri ada pihak yang mengambil kesempatan daripada pelaksanaan hukum Islam untuk menyingkirkan individu tertentu disebabkan kepentingan politik. Ini yang harus kita bimbang dan kita tidak mahu suasana seperti ini terjadi di negara ini.

RUU 355 BUKAN HUDUD

Dr Zuhdi Marzuki menjelaskan, pindaan Akta 355 bermatlamat meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan memberi ruang kepada profesyen kehakiman syariah.

Kenyataan ini jelas bahawa RUU 355 ini bertujuan meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah sahaja, bukannya hudud. Enakmen jenayah negeri Kelantan dan Terengganu sahaja yang mempunyai hukuman hudud. Jadi, yang tidak boleh dibantah oleh orang Islam adalah dua enakmen ini dan bukannya RUU ini.

Satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Unit Penyelidikan RUU 355 di bawah Muslim Youth Legal Interest Group (MYLIG), yang merupakan sebuah badan sukarelawan membantu pelajar Muslim jurusan undang-undang di Malaysia mendapati RUU ini bukan hudud. Ia hanyalah sebuah cadangan perubahan aturan undang-undang yang sangat bersifat prosedural yang melibatkan mahkamah di bawah bidang kuasa persekutuan. Maka RUU ini bukanlah termasuk hukum Islam substantif yang berdasarkan dalil daripada al-Quran dan Sunnah. Maka setiap Muslim boleh memilih untuk menyokong ataupun menolak perubahan aturan ini.

Ini bermaksud jika aturan perubahan undang-undang prosedural ini dibawa dengan perancangan yang rapi, ia wajar disokong; namun jika ia mengelirukan pengurusan Mahkamah Syariah, maka ia wajar untuk ditolak dan diganti dengan aturan yang lebih tersusun.

Kenyataan tersebut juga menyebut, "oleh kerana kita dapati RUU 355 ini bukan undang-undang islam substantif tetapi lebih kepada prosedur, maka semua pihak termasuk bukan Islam juga wajar menyatakan pandangan dalam isi aturan undang-undang ini. Jika terdapat pihak yang mempunyai cadangan untuk memperkemaskan lagi aturan ini, maka seharusnya kita terima tanpa mengira latar belakang agama".

Apabila meneliti kenyataan tersebut, kita dapat simpulkan bahawa RUU 355 ini bagus kerana ia bertujuan untuk meningkatkan bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah. Tetapi yang menjadi kebimbangan adalah dari sudut pelaksanaan, kecukupan fasiliti dan sejauh mana kemampuan sistem undang-undang di peringkat negeri bersedia untuk menjalankan hukuman tersebut.

CADANGAN & KONKLUSI

Sebagai konklusi, pertama perlunya konsultasi dan perbincangan dengan banyak pihak, antaranya ‘stakeholders’ (pihak yang berkepentingan dalam isu ini) seperti bidang penguatkuasaan, pendakwaan, para hakim Mahkamah Syariah, peguam syarie, dan Jabatan-jabatan Agama Islam untuk memastikan kelancaran proses pindaan akta ini.

Kedua, perlu ada usaha untuk memberi kefahaman sebenar dari sudut perundangan kepada golongan bukan Islam. Namun, tidak bermakna mereka tidak boleh menyokong atau membantah selepas mereka sudah memahaminya.

Ketiga, perlu memberi penekanan kepada kelengkapan fasiliti dan sistem sokongan sebelum pindaan Akta 355. Contohnya institusi penjara, pemakaian kaedah pembuktian Mahkamah Syariah yang lebih menyeluruh, memastikan semua daerah mempunyai jumlah hakim syarie yang mencukupi, dan mempersiapkan pelatihan profesional kepada pihak-pihak yang akan terlibat sebagai contoh bahagian pendakwaan, guaman, kehakiman dan pengurusan Mahkamah Syariah.

Keempat, semua pihak perlu berhenti dari mempolitikkan isu ini dan mengelirukan masyarakat umum dengan persepsi yang tidak tepat dengan sudut pandang undang-undang.

Islam sepatutnya perlu dipersembahkan dengan baik, rahmah dan harmoni, bukan sekadar melalui perlaksanaan bidang kuasa mahkamah, tetapi dalam konteks syariah yang perlu dilihat secara keseluruhan, dan dari sudut kesejahteraan hidup bagi mencapai lima maqasid syariah yang dijanjikan oleh Allah akan membawa kebaikan kepada manusia.

Kita mengharapkan suatu hari nanti syariat Allah mampu tertegak dalam kerangka keadilan dan rahmah. Semoga Malaysia menuju negara rahmah berasaskan maqasid syariah!

* Nik Fatma Amirah Nik Muhamad ialah pelajar peringkat sarjana Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan aktivis Ikram Siswa.

No comments:

Post a Comment